Pengundi di Singapura boleh undi secara pos. – SPR

0
382

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) memutuskan bahawa pengundi warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura dibenarkan memohon menjadi pengundi pos pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Menurut Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh, para pengundi boleh memohon sebaik SPR mula membuka permohonan untuk undi pos selepas mesyuarat SPR berhubung PRN Johor pada 9 Februari ini.

Beliau menjelaskan, pengundi yang berada di Singapura adalah termasuk dalam pengundi yang tinggal di luar negara dan SPR memberikan kemudahan itu untuk mereka melaksanakan tanggungjawab berkenaan.

“Pengundi yang bekerja atau tinggal di Singapura atau negara-negara lain boleh memohon untuk mengundi sebagai pengundi pos dalam tempoh ditetapkan SPR,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia pada Khamis.

Johor bakal menyaksikan seramai 2,599,797 juta pengundi aktif daripada keseluruhan kira-kira 3.52 juta penduduk negeri ini layak mengundi dalam PRN yang akan diadakan tidak lama lagi.

Berdasarkan data terkini daripada SPR, jumlah itu disenaraikan sebagai Daftar Pemilih Induk (DPI) yang diwartakan pada 17 Januari lalu.

Mengikut data tersebut, Johor merekodkan seramai 2.57 juta pengundi biasa terdiri daripada orang awam manakala seramai 10,958 pengundi tentera dan pasangan, serta 11,578 pengundi polis dan pasangan mereka.

Mengenai prosedur operasi standard (SOP) PRN Johor, Abdul Ghani sebelum ini berkata, SPR akan mengemukakan cadangan SOP perjalanan pilihan raya, namun keputusan akhir akan dibuat dan dinilai oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Terdapat larangan ke atas semua ceramah dan perhimpunan sosial semasa PRN Melaka pada November. Di Sarawak, ceramah hanya dibenarkan di 64 kawasan yang tidak mempunyai liputan internet, dengan perhimpunan terhad kepada dua jam. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here