Mayat ditemukan terdampar di persisiran pantai

0
493

SATU mayat lelaki ditemukan terdampar di hadapan kunci air lorong 1 dekat persisiran pantai Bagan Sungai Tiang, Bagan Datuk, pukul 11.30 malam tadi.

Mangsa yang berusia 36 tahun itu dipercayai mati lemas selepas hanyut semasa memasang jaring ikan sebelum mayatnya ditemukan orang ramai iaitu kira-kira lima jam selepas dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, laporan kehilangan mangsa dibuat seorang lelaki pada jam 6.15 petang yang ternampak mangsa terkapai-kapai menjerit meminta pertolongan.

Menurutnya, belum sempat lelaki itu berbuat apa-apa, mangsa telah tenggelam dan tidak timbul lagi.

“Usaha mencari dan menyelamat awal telah dijalankan oleh penduduk dan nelayan setempat, namun tidak menjumpai mangsa.

“Sehinggalah pukul 11.30 malam, polis dimaklumkan mangsa dijumpai dalam keadaan terlentang dan masih lengkap berpakaian di persisiran pantai, berhampiran tempat kejadian memasang jaring ikan,” katanya seperti dipetik Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas tubuh mangsa mendapati, tiada sebarang kesan luka, lebam atau cedera yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

Katanya, semasa kejadian air dalam keadaan surut dan polis tidak menolak kemungkinan mangsa lemas akibat tidak tahu berenang.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat dan buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here