JPNS tahan pemandu, sita lori balak

0
210

SEBUAH lori yang membawa kayu balak dalam keadaan meragukan ditahan ketika dalam perjalanan di Jalan Bukit Fraser menghala Kuala Kubu Bharu, Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 20 Januari lalu.

Lori itu ditahan sepasukan anggota Seksyen Penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) pada pukul 3.30 petang.

Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), Datuk Ahmad Fadzil Abd. Majid, semakan mendapati lori itu beroperasi dengan memiliki Pas Pemindah meragukan dan dipercayai telah digunakan semula kerana telah tamat tempoh kuat kuasa 24 jam Pas Pemindah tersebut.

“Selain itu, bilangan tual kayu balak yang dibawa lori tersebut juga tidak sama seperti bilangan yang ditetapkan dalam Pas Pemindah.

“JPNS menyita sebuah lori balak dan menahan pemandunya dalam operasi di jalan Bukit Fraser menghala Kuala Kubu Bharu,” katanya hari ini.

Beliau berkata, pemandu lori warga tempatan telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kubu Bharu untuk tindakan lanjut.

Katanya, tindakan sitaan telah diambil ke atas lori terbabit dan dibawa ke Pusat Penyimpanan Barang Kes Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

“Kes telah disiasat di bawah peruntukan Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985,” tegasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here