Mayat wanita warga emas ditemukan dalam Sungai Plentong

0
441

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG penduduk terkejut apabila menemukan mayat seorang wanita warga emas terapung-apung dalam Sungai Plentong berdekatan Jalan Masjid, Kampung Plentong Baru, Masai, Johor Bahru, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, mayat tersebut yang dipercayai warga asing berusia 64 tahun ditemukan pada pukul 10.45 pagi sebelum dilaporkan kepada pihak polis.

“Susulan penemuan mayat itu pihak polis menyiasat seorang wanita warga tempatan berusia 33 tahun yang membuat laporan polis berkenaan kehilangan rakan serumahnya.

“Mayat wanita tersebut dipercayai rakan serumahnya yang hilang selepas wanita warga tempatan itu membuat pengecaman pakaian yang dipakai simati,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, mayat dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru untuk dibedah siasat.

Menurutnya, pihak polis masih menjalankan siasatan dan ketika ini kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut (SDR).

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II Kilok Anak Lampas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan untuk membantu polis mengangkat naik mayat tersebut pada pukul 12.11 tengah hari.

Susulan itu katanya, seramai lapan anggota dan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta satu unit bot kecil dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Ulu Tiram dikejarkan ke tempat kejadian.

“Mayat wanita dewasa itu didapati berada di permukaan sungai dengan jarak 10 meter dari tebing sungai. Mayat dibawa naik ke darat dan disahkan sudah meninggal oleh pasukan perubatan yang hadir.

“Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat pada pukul 2.45 petang,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here