Gaduh libatkan penarik kereta, 5 lagi ditahan

0
257

LIMA lagi lelaki ditahan susulan insiden pergaduhan berpunca daripada salah faham berhubung urusan menarik kereta yang terbabit kemalangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Pulau Pinang kelmarin.

Jumlah itu menjadikan keseluruhan yang ditahan setakat ini ialah seramai 10 orang selepas lima lelaki ditahan semalam bagi membantu siasatan kejadian itu.

Kesemua yang ditahan merupakan warga tempatan berusia antara 21 hingga 54 tahun.

Bagaimanapun menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, dua daripada mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis mankala lapan lagi masih direman selama lima hari sehingga 31 Januari ini.

“Suspek yang masih ditahan reman berada di Lokap Berpusat Bayan Baru untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mereka merupakan antara kira-kira 20 individu yang dikesan terlibat dalam insiden itu yang berlaku di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, Georgetown, kira-kira pukul 2 petang kelmarin.

Insiden itu yang berjaya dirakam orang awam dan turut tular di dalam media sosial Facebook menunjukkan kira-kira 20 lelaki bergaduh sesama sendiri sehingga menarik perhatian pengguna jalan raya lain.

Kejadian itu berlaku selepas sebuah lori membawa muatan mozek dan dua buah kenderaan lain terbabit kemalangan di laluan menghala pusat bandar.

Hasil siasatan mendapati pergaduhan tersebut berpunca daripada perselisihan faham berkaitan urusan menarik kenderaan-kenderaan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya berkenaan.

Pihak polis turut merampas senjata yang digunakan dalam pergaduhan tersebut iaitu topi kaledar dan pengunci motosikal dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (kesalahan merusuh dengan senjata). – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here