Pas Johor nafi tolak 4 kerusi ditawarkan UMNO

0
502

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PAS Johor menafikan menolak empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditawarkan UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan lebih tertarik dengan 15 kerusi DUN ditawarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin menegaskan, isu berkenaan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti tersebut untuk PRN Johor masih belum dibincangkan sehingga kini.

“Merujuk video yang tular Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohamad mempersoalkan kejujuran Pas dalam Muafakat Nasional (MN) apabila menolak tawaran empat kerusi daripada UMNO dan lebih tertarik tawaran 15 kerusi daripada Bersatu.

“Pas Johor ingin menegaskan bahawa setakat ini belum ada perundingan atau perbincangan dibuat bersama-sama UMNO Johor tentang pengagihan kerusi PRN Johor dan Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15), apa lagi menyatakan pendirian menolak tawaran kerusi DUN.

“Sebagai rakan dalam MN, Pas Johor sentiasa berlapang dada dan terbuka untuk terus komited dengan usaha memperkukuhkan pemuafakatan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru Abdullah berharap, sebarang perkara berbangkit termasuk isu pembahagian kerusi dapat dibincangkan secara ukhuwah bagi memelihara hubungan sedia ada.

Pendekatan tersebut katanya, penting bagi mengelakkan salah faham di samping dapat mengelakkan andaian dan laporan yang mengelirukan dalam media sosial.

Tegas Abdullah, Pas Johor juga menafikan keterlibatan dengan menyokong calon Berjasa dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai bahkan jentera Pas digerakkan sepenuhnya untuk berkempen dan menyokong calon BN daripada MCA ketika itu.

“Justeru Pas Johor sentiasa mengalu-alukan sebarang usaha ke arah memperkukuh pemuafakatan ini demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara,” katanya lagi.

Hari ini, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO dan BN masih belum menetapkan sama ada mahu meneruskan kerjasama dengan Pas atau bergerak solo pada PRN Johor.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, pemimpin tertinggi akan meneliti sebaiknya setiap perkara berkaitan kerjasama dengan Pas sebelum sebarang keputusan dibuat.

DUN Johor dibubarkan Sabtu lalu selepas mendapat perkenan Sultan Johor dan kelmarin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan PRN Johor pada 9 Februari ini yang dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.

Mesyuarat itu bagi akan membincangkan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here