[VIDEO] Keputusan Muhyiddin tidak bertanding beri kesan positif kepada PN

0
775

KEPUTUSAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat akan memberi kesan positif kepada kempen parti itu secara keseluruhan. 

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, keputusan bekas Perdana Menteri itu sekaligus akan membolehkan beliau memberi tumpuan kepada segenap aspek jentera dan kempen PN di negeri ini.

Tambahnya, Muhyiddin tidak lagi perlu berkempen hanya untuk satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi sahaja.

“Jika Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bertanding dalam PRN Johor, saya lihat itu adalah satu kelebihan kerana beliau akan mempunyai banyak masa untuk perkukuh peluang PN.

“Saya yakin dengan kepimpinan dan pengalaman beliau yang telah menghadapi pelbagai pilihan raya sebelum ini, kita akan mampu beroleh kemenangan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Semalam, Muhyiddin mengesahkan tidak akan bertanding bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir yang disandangnya sebelum ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Beliau membuat keputusan tidak bertanding bagi membolehkan lebih ramai calon muka baharu ditampilkan parti itu dalam PRN Johor serta mahu lebih fokus di peringkat Parlimen dan mengukuhkan kedudukan PN di peringkat pusat.

Mengulas lanjut, Mohd. Solihan, berkata kepimpinan Bersatu Pusat sudah membuat keputusan kerusi itu diserahkan kepada Bersatu Bahagian Ledang.

Beliau yang juga Ketua Bersatu Bahagian Ledang berkata, pihaknya sudah mempunyai calon bersesuaian, diterima ahli akar umbi dan juga penduduk setempat di Bukit Gambir.

“Kami percaya calon berkenaan akan dapat menyambung khidmat yang dibuat Tan Sri selain turut memberi nilai tambah kepada penduduk setempat,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here