PRN Johor: Pas tidak akan tinggalkan Bersatu – Penganalisis

Bersatu disifatkan lebih telus dan ikhlas berbanding UMNO

0
604

PENGANALISIS politik menjangkakan Parti Islam Se-Malaysia (Pas) tidak akan mengabaikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelak.

Pemerhati politik, Mohd Sayuti Omar berkata, Pas masih akan memilih untuk bersama-sama Bersatu pada PRN Johor meskipun menghadapi prestasi yang kurang memberansangkan di Melaka pada November tahun lalu di bawah bendera Perikatan Nasional (PN).

Katanya, jangkaan itu adalah ekoran parti Bersatu yang disifatkan lebih telus dan ikhlas berbanding UMNO.

Baca berita berkaitan: SOP PRN Johor perlu lebih efektif berbanding PRN Melaka dan Sarawak

Menurut Mohd Sayuti, Pas juga mempunyai ‘sejarah buruk’ dengan Barisan Nasional (BN) ketika menjadi sebahagian daripada gabungan itu pada 1970-an apabila parti itu percaya telah dikhianati UMNO sehingga mencetuskan krisis politik dalam kerajaan Kelantan.

“Keputusan UMNO Kelantan untuk memutuskan hubungan dengan PAS mengukuhkan lagi alasan untuk Pas terus bekerjasama dengan Bersatu.

“Saya berpendapat Pas Johor lebih suka bekerjasama dengan Bersatu. Hanya jika Bersatu mahu bekerjasama dengan UMNO, Pas akan turut sama ikut,” katanya seperti yang dilaporkan Free Malaysia Today.

Baca berita berkaitan: [VIDEO] PRN Johor: Jangan fikir ‘periuk nasi’ sendiri sahaja- Penganalisis

Dalam pada itu, Mohd Sayuti turut berpandangan bahawa Pas lebih mempercayai Bersatu kerana presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berasal daripada keluarga berlatar belakangkan agama.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM) Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, sekiranya Pas mengambil keputusan untuk meninggalkan Bersatu pada PRN Johor, Bersatu akan kehilangan undi dalam kalangan penyokong Pas.

Menurut Fauzi, kepimpinan Pas mesti menilai dengan teliti manfaat bekerja dengan parti yang telah tercemar dengan rasuah seperti UMNO.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here