[VIDEO] PRN Johor: Jangan fikir ‘periuk nasi’ sendiri sahaja- Penganalisis

Parti-parti politik sepatutnya selesaikan isu rakyat terlebih dahulu sebelum mementingkan kelangsungan politik masing-masing.

0
563

PENGANALISIS-penganalisis politik menyifatkan gesaan pihak tertentu untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dalam tempoh yang terdekat seolah-olah tidak peduli dengan keluhan rakyat yang dibelenggu kesusahan ekoran banjir mahupun ekonomi yang terjejas akibat pandemik.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, pihak  tertentu yang menggesa PRN di negeri itu dilihat hanya mementingkan strategi politik semata-mata berbanding menjayakan ikrar mereka untuk membantu rakyat.

“Sebagai contoh apa yang berlaku ketika PRN Melaka, kalau sesebuah parti itu menang dengan kemenangan yang besar, ia akan memberikan satu ‘political mileage’ kepada mereka (untuk hadapi Pilihan Raya Umum). Melihat kepada kesan di Melaka, mungkin UMNO merasa yakin untuk tawan Johor.

“Kita sebagai rakyat marhaen mahukan Pilihan Raya Umum dan PRN diadakan serentak. Kerajaan pun tak habis banyak duit kepada tempat yang tidak sepatutnya,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Tambahnya, ahli-ahli politik ketika ini hanya dilihat hanya memikirkan periuk nasi mereka semata-mata berbanding memikirkan usaha untuk membantu rakyat.

“Sudah tiba masanya rakyat menilai sejauh mana pemimpin-pemimpin boleh membawa aspirasi rakyat. Rakyat bukan bodoh sekarang,” ujarnya.

Baca berita berkaitan: PRN Johor bukan sesuatu mendesak, kebajikan rakyat lebih utama – NGO

Tambah beliau, ahli politik sepatutnya menyelesaikan isu rakyat seperti bencana, ekonomi dan Covid-19 terlebih dahulu sebelum membuat tindakan yang hanya memberi manfaat kepada kelangsungan politik mereka semata-mata.

Menurut Rusdi, beliau tidak menafikan bahawa PRN merupakan salah satu jalan yang terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik yang berbangkit namun, ia disifatkan tidak sesuai sekiranya mempertimbangkan keadaan semasa seperti bencana banjir dan risiko varian Omicron yang semakin meningkat.

“Tapi dalam masa sekarang, dengan keadaan banjir yang masih lagi belum selesai, dengan risiko Covid yang masih tinggi, ini bukan masa yang sesuai.

“Fikirkan isu rakyat terlebih dahulu. Beri masa untuk keadaan ini untuk reda sikit. Selepas itu kalau rasa perlu buat, buatlah. Tapi bukan masa sekarang,” ujarnya.

Baca berita berkaitan: PRN Johor: Patuhi titah Sultan, degil itu menderhaka

Mengulas lanjut, Rusdi berpandangan kerajaan negeri Johor perlu mengambil pendekatan sama seperti kerajaan pusat yang mengadakan memorandum persefahaman (MoU) bersama pembangkang.

Katanya, cadangan itu adalah ekoran perbezaan bilangan majoriti antara kerajaan negeri dengan pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada ketika ini hanya satu kerusi selepas kematian Ahli DUN Kempas, Datuk Osman Sapian.

Sementara itu, Penganalisis Politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, gesaan untuk mengadakan PRN di Johor perlu dikaji semula memandangkan ia boleh merisikokan nyawa rakyat selain perlu menelan belanja yang besar.

“Belum ada keperluan mendesak untuk diadakan PRN Johor memandangkan risiko Covid-19 semakin merisaukan. Bukan kos saja diperlukan untuk buat PRN, tetapi rakyat perlu turun mengundi dalam keadaan tidak menentu ini. Pembubaran DUN juga bergantung kepada perkenan Sultan Johor.

“Mereka yang desak PRN ini dengan harapan mereka boleh menang besar seperti di Melaka dan boleh memerintah dengan stabil, iaitu majoriti 2/3. Juga nak ambil ‘mood’ kemenangan di Melaka,” katanya kepada SatuBerita.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here