SOP PRN Johor perlu lebih efektif berbanding PRN Melaka dan Sarawak

0
404

PROSEDUR operasi standard (SOP) yang perlu dirangka dengan lebih matang dan efektif menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pakar kesihatan awam (epidemiologi) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Malina Osman berkata, perkara itu perlu diberi perhatian setelah mengambil kira pengalaman dalam merangka SOP ketika PRN di Melaka dan Sarawak pada tahun lalu.

“Kita dapati bahawa, melalui cerapan di lapangan, tidak ada ledakan kes yang berlaku selepas dua PRN itu.

“Seperti yang kita lihat SOP PRN Sarawak adalah jauh lebih baik berdasarkan pengalaman pada PRN Melaka. Mengenai PRN di Johor, saya yakin pengalaman telah mematangkan mereka yang merangka draf SOP untuk aktiviti berkenaan,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Katanya, ketiadaan ledakan kes yang ketara selepas PRN di Sarawak adalah bukti kemampuan dos penggalak yang mampu untuk mengekang penularan wabak Covid-19 selain kejayaan Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) yang diperkenalkan sejak tahun lalu.

“Ia bukan isu PRN Johor pada saya, ia lebih kepada kepatuhan individu terhadap SOP dan juga penerimaan dos penggalak. Jikalau sememangnya ada lonjakan kes, ia akan dipantau dari masa ke masa.

“Pada ketika ini, keadaan ini sangat berbeza dengan sitausi pada 2020, iaitu selepas PRN Sabah kita nampak ledakan kes positif Covid-19 yang ketara, dan perkara yang jelas menjadi perbezaan dengan situasi semasa adalah vaksin selain pematuhan SOP yang masih lagi diteruskan,” ulasnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan orang ramai perlu mematuhi setiap SOP yang akan dirangka ketika keluar mengundi pada PRN Johor bagi mengekang penularan varian baharu Covid-19, Omicron.

“Selagi kita boleh mematuhi SOP, dan mematuhi arahan kerajaan untuk mengambil dos penggalak, saya melihat keadaan ini tiada isu walaupun varian Omicron dibimbangi akan meningkat. Selagi kita patuh SOP, ia bukan perkara yang membimbangkan,” ulasnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here