Lee Zii Jia sah jadi profesional, tinggalkan BAM

0
338

SEMUA persoalan berkaitan status jaguh badminton negara, Lee Zii Jia bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kini terjawab.

Pemain perseorangan utama negara itu pada Selasa mengesahkan sudah mendapat restu untuk bergerak secara profesional.

Menurut Zii Jia, isu mengenai status beliau telah diselesaikan selepas bertemu secara peribadi dengan Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria.

“Dalam pertemuan dari hati ke hati itu, saya gembira kerana kami telah menyelesaikan isu ini dengan BAM selepas mendapat restu Tan Sri (Norza) untuk menjadi pemain profesional.

“Pencapaian masa lalu dan masa akan datang saya akan sentiasa menjadi produk Tan Sri Norza, BAM dan Malaysia. Saya bersyukur kerana Tan Sri membimbing, mengasuh dan memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat kepada negara yang dicintai,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Difahamkan Zii Jia hadir ke Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara bersama ibu-bapanya bagi mengadakan pertemuan dengan BAM tengah hari tadi.

Mengulas lanjut, Zii Jia menambah, beliau tetap akan komited untuk Kejohanan Berpasukan Asia biarpun bergerak secara profesional.

Katanya, beliau berharap keputusan dan kesimpulan itu akan menyatukan semua peminat badminton dan rakyat Malaysia.

“Teruskan menyokong BAM dan juga pemain profesional negara yang turut diasuh oleh BAM kerana akhirnya kita adalah satu,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here