PN, PH dan pembangkang dicadangkan tubuh gabungan hadapi PRN Johor

0
716

PERIKATAN Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan parti pembangkang lain yang mahu bertanding dalam Pilihanraya Negeri Negeri (PRN) Johor perlu berada di bawah satu gabungan atau blok yang sama bagi memastikan kemenangan.

Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli mencadangkan blok berkenaan dinamakan sebagai Muafakat Rakyat Johor (MRJ) atau Gabungan Rakyat Johor (GRJ) bagi memastikan tidak bertembung antara satu sama lain.

Jelas beliau, gabungan itu nanti terdiri daripada Bersatu, PH, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Formula gabungan PH sebelum ini berjaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Kemuafakatan dalam parti dan rakan seperjuangan adalah kunci kejayaan untuk menang dalam PRN Johor.

“Mana-mana parti yang menentang Barisan Nasional (BN) mesti berada di bawah satu panji. Jika tidak, sia-sia sahaja kerana kemenangan akan berpihak kepada UMNO,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Cadangan yang sama turut digemakan oleh bekas Ahli Jawatankuasa parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mazlan Aliman yang menambah, jika PH tidak memperluaskan kerjasama bagi menghadapi PRN Johor dengan melibatkan PN dan sekutunya, gabungan pembangkang mungkin bakal mengalami kekalahan sekali lagi dalam pilihan raya yang bakal diadakan.

Mazlan juga memberi amaran, jika PH memutuskan untuk menghadapi PRN dengan kedudukannya sekarang ini, ia akan berdepan kekalahan seperti apa yang berlaku pada PRN Melaka.

“PH yang dianggotai PKR, Amanah, DAP dan Upko ibarat ‘serah tengkuk’ kepada BN jika berada pada status quo seperti di Melaka dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan lain hari ini.

Semalam, Majlis Presiden PH menerusi satu kenyataan bersama-sama menyatakan hasrat mereka bergabung dengan parti pembangkang lain yang mahu bertanding dalam PRN Johor supaya bersama-sama di bawah satu khemah besar.

DUN Johor dibubarkan Sabtu lalu selepas mendapat perkenan Sultan Johor dan pada Isnin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan PRN Johor pada 9 Februari ini yang dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.

Pada PRN Melaka, BN kembali membentuk kerajaan negeri susulan kekalahan teruk PH terutama PKR, di mana parti itu tidak memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sementara Bersatu pula berjaya mengekalkan dua kerusinya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here