JKM kesan waris kanak-kanak ditinggal bawah pokok 4 tahun lalu

0
211

Oleh RIZQI ZABIDI

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Sik, Kedah sedang mengesan waris dan ibu kandung seorang kanak-kanak lelaki yang dirujuk oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sik pada tahun 2018.

Menurut Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Sik, Shamrul Izrin Isahak, kanak-kanak yang dikenali sebagai Adam ini dianggarkan berusia enam tahun ketika menerima aduan orang awam.

“Adam ditinggalkan seorang diri di bawah pokok di Kampung Kuala Jeneri, di Sik dan tidak ditemui sebarang dokumen pada dirinya.

“Memandangkan pada ketika itu tiada ahli keluarga atau waris yang tampil untuk menuntut kanak- kanak ini, Mahkamah Kanak-Kanak Sik telah memerintahkan agar kanak-kanak terbabit diletakkan dalam jagaan JKM mengikut Seksyen 30 (1) (d) Akta Kanak Kanak 2001 Pindaan 2016,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shamrul Izrin, berkata tarikh sebutan yang akan datang di Mahkamah Bagi Kanak Kanak Daerah Sik adalah pada 11 November 2022.

Katanya, Adam sudah tiga tahun berada dibawah jagaan JKM dan kini sudah berusia sembilan tahun.

Justeru beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai waris dari Kampung Kuala Jeneri itu berhubung dengan Pegawai Pelindung, Unit Kanak-Kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Sik dengan kadar segera di talian 04-4690230. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here