Polis tahan suami isteri dalang edar dadah

0
498

Oleh RIZQI ZABIDI

Sepasang suami isteri antara tiga individu yang ditahan dalam dua siri tangkapan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Kedah pada Rabu lalu, kerana disyaki terlibat dengan kegiatan mengedar dadah sejak beberapa bulan lalu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd. Roze Shaari, sebanyak lebih tujuh kilogram dadah jenis heroin dan syabu dirampas daripada mereka yang ditahan.

Katanya, tangkapan pertama dibuat terhadap seorang individu berusia 22 tahun di bawah rumah flat dekat Mergong, Alor Setar.

“Pemeriksaan terhadapnya menemukan plastik dalam beg silang yang berisi lapan peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 56.3 gram.

“Lanjutan daripada tangkapan pertama, siri tangkapan kedua dilakukan melibatkan pasangan suami isteri tersebut yang sedang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton di tepi Jalan Sungai Petani, Simpang Empat dekat Alor Setar. Pemeriksaan dijalankan kemudiannya menemukan dadah jenis heroin seberat 338.4 gram dalam beg pinggang dipakai oleh si suami,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar, hari ini.

Tidak berakhir di situ katanya, polis kemudiannya menyerbu ke sebuah rumah di Kampung Radek, Sik kira-kira pukul 7.15 malam hari sama.

“Dalam bilik rumah tersebut, polis menemukan satu beg galas berwarna kelabu berisi dadah jenis syabu seberat 5.5kg dan lima peket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat kira-kira 1.6kg.

“Kesemua dadah tersebut dianggarkan bernilai RM224,852 dan dianggarkan boleh digunakan oleh kira-kira 62,000 penagih,” katanya.

Menurutnya, pihak polis turut menyita sebuah motosikal 125Z bernilai RM8,000 serta wang tunai RM835.

“Mereka dipercayai aktif menjalankan kegiatan tersebut antara enam hingga lapan bulan lalu. Kesemua mereka direman hingga 26 Januari depan dan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here