Tiga bekas pemimpin DAP sertai Warisan

0
286

KEHADIRAN tiga bekas pemimpin DAP dalam majlis makan malam Parti Warisan (Warisan) menjawab segala teka-teki mengenai nama-nama penting yang menyertai Warisan di Semenanjung.

Pemimpin DAP tersebut juga secara terbuka menyatakan sokongan kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri (PM), ia sekaligus menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih berangan-angan cuba untuk menjadi PM dalam pilihan raya umum depan.

Tiga bekas pemimpin itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Selangor, Bryan Lai Wai Chong; bekas Ahli Parlimen Jelutong, Pulau Pinang, Jeff Ooi Chuan Aun dan bekas ADUN Batu Lanchang, Datuk Danny Law Heng Kiang.

Turut dilihat hadir dalam majlis berkenaan ialah bekas Ahli Jawatankuasa Kerja MIC, Sunther Subramaniam dan bekas ADUN Kukup, Johor, Suhaimi Salleh.

Kelima-lima mereka mengumumkan telah menyertai Warisan secara rasmi.

Bryan berkata, beliau memutuskan menyertai Warisan pada Jumaat selepas berbincang dengan Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong. 

“Pasukan saya di Ampang Selangor kata, kalau saya tidak masuk Warisan macam mana mahu guna logo Warisan jadi, saya putuskan menyertai Warisan.

“Warisan adalah satu-satunya parti berbilang kaum yang sebenar dan ia diketuai oleh Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang merupakan seorang berfikiran terbuka dan kita perlu kepimpinan sebegini untuk menerajui negara.

“Kami akan bekerja keras untuk memastikan Mohd. Shafie menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15,” katanya dalam majlis makan malam Warisan di Kota Kinabalu, Sabah, pada Sabtu.

Turut bersama dalam majlis tersebut Presiden Warisan, Shafie; Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking dan Naib-naib Presiden Warisan, Junz Wong dan Datuk Jaujan Sambakong.

Bryan meninggalkan DAP pada April tahun lalu dan kekal sebagai ADUN Bebas.

Sementara itu, Danny yang meninggalkan DAP selepas berada dalam DAP selama 35 tahun turut memutuskan menyertai Warisan.

Tindakan itu menjawab segala persoalan mengenai hala tuju politiknya selepas beliau mengumumkan keluar daripada DAP pada 18 Januari lalu.

Danny Law adalah ADUN Batu Lanchang dari 1999 hingga 2004 dan dipilih semula pada 2008 serta mengekalkan jawatan itu sehingga 2018 dan beliau digugurkan sebagai calon pada pilihan raya 2018. 

Sementara itu, Jeff berkata, beliau bersama Danny telah menyediakan strategi politik untuk Warisan di Pulau Pinang dalam usaha mengukuhkan keahlian parti berkenaan di kawasan tersebut. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here