Kerana ghairah PRN Johor, jangan sampai rakyat berhari raya dalam PKP

0
319

Baru-baru ini spekulasi UMNO mahu merancang satu lagi pilihan raya timbul, selepas Melaka dan Sarawak kini Johor pula dikatakan bakal membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan pilihan raya negeri diadakan (PRN).

Alasan diberikan pemimpin UMNO untuk mengadakan pilihan raya kononnya mahukan kestabilan politik, walhal realitinya ia bagi memenuhi nafsu ghairah penganggur politik di Johor.

Pemimpin UMNO Johor seperti Datuk Seri Khaled Nordin secara terbuka mengeluarkan kenyataan menyokong supaya PRN diadakan di negeri tersebut, malah ia disambut pula pemimpin lain seperti Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang senada dengan Khaled.

Untuk rekod, kedua-dua mereka ini adalah penganggur politik selepas ditewaskan dalam pilihan raya lalu ditolak pengundi.

Ia sangat memalukan bagi Khaled selaku mantan Menteri Besar (MB) Johor ditolak sendiri pengundi kawasan ditandinginya, bagaimanapun seakan tidak tahu malu dengan kekalahan lalu beliau masih menuntut pula satu lagi PRN diadakan.

“Malah, inilah sebenarnya tanggungjawab. Kita mesti mengembalikan mandat kepada rakyat apabila kerajaan berada dalam kedudukan yang terlalu rapuh dan tidak stabil.

“Bukannya terus menerus berkeras bahawa kita mempunyai kuasa apalagi bila terpaksa meminta sokongan pembangkang,” kata Khaled sebelum ini dipetik laporan media.

Bagi Khaled, kerajaan negeri sekarang tidak stabil namun faktanya jika tidak stabil bagaimana pula pembentangan Belanjawan Johor 2022 berjumlah RM1.958 bilion pada November tahun lepas boleh diluluskan secara majoriti.

Jika tidak ada kestabilan, mustahil pentadbiran MB Datuk Hasni Mohammad yang juga wakil dari parti UMNO itu mendapat sokongan untuk meluluskan belanjawan bagi tahun 2022.

Sebenarnya, alasan kestabilan politik adalah naratif dangkal untuk membodohkan rakyat kononnya terdapat satu keperluan mendesak untuk mengadakan PRN, namun realitinya penganggur politik pemimpin UMNO di Johor terlalu ghairah tamak dengan kuasa.

Bukan rakyat tidak tahu, satu demi satu kemelut politik sengaja dicetuskan pemimpin UMNO yang semakin ketandusan idea, lihat bagaimana PRN Melaka terpaksa diadakan apabila wakil mereka sendiri menarik sokongan terhadap kerajaan negeri yang dipimpin juga wakil dari UMNO.

Jadi, ia juga tidak mustahil apabila terdapat rancangan untuk mengikut jejak yang sama berlaku di Melaka, bakal terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang sanggup menjadi keldai menarik sokongan terhadap Hasni bagi menjatuhkan kerajaan negeri sehingga terpaksa membubarkan DUN.

Bagaimanapun, langkah untuk mengadakan PRN secara tergesa-gesa tanpa menghiraukan kepentingan serta kebajikan rakyat bakal mengundang kemarahan majoriti orang ramai yang sudah muak dengan drama politik yang tidak berkesudahan.

Rakyat baharu sahaja berdepan bencana banjir besar, ramai yang kehilangan tempat berteduh dan tinggal sehelai sepinggang, pandemik Covid-19 masih lagi berlarutan sehingga setiap hari ada sahaja kluster baharu dikesan Kementerian Kesihatan (KKM).

Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, peningkatan mendadak jumlah kluster Covid-19 menunjukkan wabak itu mempunyai kemungkinan untuk mewujudkan gelombang keempat.

“Kita baru sahaja dikejutkan dengan pendedahan tentang sijil vaksin palsu yang dijual oleh pihak tidak bertanggungjawab dan sekarang secara tiba-tiba muncul kluster-kluster baharu yang menjadi indikasi bahawa masih ramai boleh menjadi pembawa wabak ini,” katanya dipetik laporan media.

Menurut Dr Sharifa, walaupun majoriti rakyat sudah menerima vaksin ia bukan jaminan penularan Covid-19 akan terhenti serta-merta, malah dengan kemunculan varian baharu yang sudah masuk ke Malaysia sudah mengakibatkan banyak kluster baharu dikesan baru-baru ini.

Kebimbangan Dr Sharifa adalah melibatkan penularan di sekolah yang semakin meningkat, ia berisiko bakal menyebabkan muncul satu lagi gelombang baharu Covid-19 selepas ini.

“Kita perlu pastikan mereka yang betul-betul layak divaksin menerima suntikan dan bukan sekadar mendapat sijil vaksin. Kakitangan sekolah juga perlu amanah kerana bukan semua kanak-kanak di sekolah boleh menerima vaksin, jadi kita yang berkelayakan haruslah bertanggungjawab memastikan keselamatan semua pihak terjamin.

“Sudah tentu kita semua maklum, walaupun dengan vaksin, kita bukanlah kebal daripada Covid-19. Jika tiada yang menjadi pembawa virus iaitu dengan mendapatkan suntikan maka persekitaran kita akan menjadi lebih selamat,” katanya lagi.

Tahun ini, penganut agama Islam yang majoriti di Malaysia bakal menyambut kedatangan bulan Ramadhan pada awal April dan bakal menyambut hari raya pada Mei nanti.

Penganut Muslim sangat berharap sambutan tahun ini berbeza dengan sambutan dua tahun lalu apabila terpaksa berhari raya dalam dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ramai yang tidak dapat pulang ke kampung untuk menyambut bersama sanak saudara kerana PKP disebabkan penularan Covid-19 yang masih berleluasa, pastinya tahun ini orang ramai sangat berharap dapat menyambut hari raya di kampung selepas dua kali tidak dapat pulang sebelum ini.

Namun, kebimbangan orang ramai kini jika PRN diadakan dalam masa terdekat, ia bakal menyebabkan negara terpaksa berdepan satu lagi gelombang baharu penularan Covid-19 dan akhirnya terpaksa dikurung sekali lagi dalam rumah.

Rakyat sudah muak dengan percaturan dan permainan orang politik yang gilakan kuasa sehingga tidak memikirkan kesan selepas itu yang bakal berlaku.

Jangan dijadikan alasan dua PRN di Melaka dan Sarawak sebagai kayu pengukur untuk mengadakan satu lagi PRN, banyak negara dunia kini sedang bergelut dengan gelombang baharu penularan Covid-19 dan Malaysia juga tidak mustahil bakal tercetusnya satu lagi gelombang penularan yang besar.

Dalam keadaan kes jangkitan baharu masih angka beribu-ribu setiap hari, kluster baharu pula tumbuh bagai cendawan dan kehadiran beberapa varian baharu oleh pakar, ia bukan satu petanda yang baik untuk mengadakan satu lagi PRN kerana bakal mengundang musibah yang besar kepada negara.

Jangan kerana ahli politik kemaruk mahu mengadakan pilihan raya, rakyat pula nanti tidak boleh berhari raya. Cukup-cukuplah rakyat berhari raya di rumah tanpa dapat bertemu sanak saudara, sampai bila rakyat mahu didera oleh ahli politik yang mabuk kuasa. – Agenda Daily

Tulisan ini pertama disiarkan AGENDA DAILY adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita.
Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.
SatuBerita menghargai pendapat anda.

Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here