Lapan PATI baru mendarat diberkas dalam Op Benteng

0
340

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

LAPAN pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang baru mendarat berjaya diberkas
dalam dua siri serbuan di kawasan pantai Kampung Masjid, Teluk Ramunia, Kota Tinggi, hari ini.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan memberitahu, Radar Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) dan anggota petugas Pos Pemerhati mengesan pergerakan bot yang mencurigakan di kawasan pantai itu pukul 2.40 pagi.

“Tim terbabit melihat kelibat orang sedang turun dari bot dan berjalan menuju ke arah daratan pantai tersebut.
Kemudian pada pukul 3.10 pagi, tim telah berjaya menahan dan membuat penangkapan ke atas enam PATI warga Indonesia.

“Kemudian pada pukul 7.20 pagi, Tim Quick Reaction Force (QRF) pula berjaya membuat penambahan tangkapan ke atas dua PATI warga negara itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, semua PATI itu terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 30 hingga 49 tahun.

Menurutnya, semua PATI tersebut telah dibuat saringan Covid- 19 di Klinik Kesihatan Sungai Rengit dan mendapati semuanya negatif.

Mereka katanya, akan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia di Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru dan laporan dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

Nilai keseluruhan rampasan katanya, dianggarkan berjumlah RM4,811 melibatkan matawang Malaysia RM612, matawang Indonesia IDR 1,060,000 (RM309), beberapa matawang asing lain, tujuh telefon bimbit bernilai RM3,130, barang kemas bernilai RM680 serta seutas jam tangan.

Pasukan meneruskan atur gerak pasukan QRF dan pasukan Dron ATM serta dibantu pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan, ujarnya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here