400 penduduk dipindahkan ke kawasan selamat, tapak pelupusan sampah terbakar

0
250

KIRA-KIRA 400 penduduk daripada 86 buah keluarga yang tinggal berdekatan tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibing Tebal, Pulau Pinang terpaksa dipindahkan ke kawasan selamat selepas kebakaran di kawasan itu sejak empat hari lalu belum berjaya dipadamkan sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan SK Bakap Indah dibuka bagi menempatkan penduduk dari Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan dalam satu kenyataan berkata, stesen pengawasan kualiti mudah alih Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang ditempatkan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Byram mendapati terdapat kandungan gas yang boleh memberi risiko kesihatan.

Menurut kenyataan itu, penduduk yang tinggal di lokaliti Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru dinasihatkan untuk berpindah ke dua PPS buat sementara waktu.

“JAS melakukan pemantauan kualiti udara di tiga lokasi iaitu Masjid Daerah Seberang Perai Selatan; Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Changkat dan Dewan MPKK Kampung Kebun Baru.

“JAS akan terus membuat pemantauan kualiti udara dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu kenyataan tersebut menambah, orang ramai diingatkan terus mematuhi nasihat kesihatan dengan mengurangkan aktiviti luar, memakai pelitup muka dan segera ke hospital jika mengalami gejala seperti sesak nafas dan tidak sihat.

Tapak pelupusan sampah berkeluasan 16.2 hektar itu dilaporkan terbakar kira-kira pukul 4.40 petang Rabu lalu membabitkan kawasan seluas 6.5 hektar.

Kebakaran itu berjaya dikawal kira-kira pukul 9 malam Khamis lalu, manakala kerja-kerja pemadaman masih dilakukan ketika ini.

Bagaimanapun, asap hitam kesan daripada kebakaran itu masih terhasil sehingga kini dan dapat dilihat menjulang ke udara pada jarak lebih 10 kilometer. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here