Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan kehadiran ‘keluarga’ baharu mereka yang melibatkan pemain import, Fernando Forestieri.
Pengumuman itu dimaklumkan skuad Harimau Selatan tersebut melalui video pengenalan berdurasi kurang satu minit yang dimuat naik dalam Facebook dan Instragram milik mereka, hari ini.
Dalam video berkenaan, pemain itu dilihat keluar daripada sebuah limosin hitam yang berhenti di depan pintu utama ibu pejabat JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Ketibaannya di ibu pejabat tersebut disambut Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards dan Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora.
Pemain penyerang kelahiran Argentina itu dipercayai bakal menyarung jersi bernombor 45 jika dilihat berdasarkan video yang dikongsikan berkenaan.
Pemain berusia 31 tahun itu sebelum ini beraksi bersama-sama pasukan Udinese dalam liga Serie A, Itali.
Selain itu, dia turut pernah menyarung jersi Sheffield Wednesday dan Watford.
Sementara itu, Forestieri berkata, beliau telah mendengar dan melihat banyak perkara mengenai JDT khususnya melibatkan projek bola sepak juara Liga Super berkenaan.
“Saya telah mendengar dan melihat banyak perkara mengenai projek Bola Sepak JDT, dan saya membuat keputusan inilah hala tuju saya.
“Saya teruja untuk memulakan perjalanan ini,” katanya dalam satu kenyataan ringkas yang turut dimuat naik dalam dua media sosial JDT itu. – SB