Imam ‘mandikan’ remaja curi tabung masjid letak jawatan

0
457

IMAM yang terlibat dalam memandikan seorang  remaja seperti jenazah selepas ditangkap cuba mencuri tabung masjid telah meletakkan jawatan berkuatkuasa hari ini .

Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Zawawi Ahmad Mughni, ketika mengesahkan perkara itu berkata, beliau sudah berhubung dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Shahzihan Ahmad, mengenai tindakan wajar yang sudah diambil kepada imam berkenaan.

“Saya baru berhubung dengan Pengarah JAIS, dan beliau memaklumkan sudah mengambil tindakan wajar kepada imam berkenaan. Saya kurang pasti tindakan terperinci tetapi saya diberitahu imam berkenaan sudah pun meletak jawatan,” katanya kepada portal Free Malaysia Today

Zawawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis berkata sebagai seorang tokoh agama tempatan, seorang individu bergelar imam atau nazir tidak sewajarnya menjatuhkan hukuman sendiri, sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.

“Sebagai imam atau nazir tidak sewajarnya memberi hukuman sebelum siasatan dilakukan, patutnya kita beri keterangan kepada polis untuk selesaikan. Tugas imam sebagai dai, beri nasihat dan bimbingan kepada individu yang bermasalah, bukan buat tindakan (menghukum) sendiri,” katanya.

Remaja berkenaan, Daniel Iskandar, 19, dipenjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Isnin lalu, tular video memaparkan seorang remaja dimandikan seperti jenazah selepas ditangkap kerana mencuri tabung di Masjid Al Islahiah Kuang, Rawang pada jam 11.58 malam, 8 Jan lalu.

Dia turut dilumur dengan kapur barus oleh ahli pengurusan masjid dan diawasi oleh beberapa penduduk kampung berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here