Akur arahan suami, Ellie Suriaty dah cucuk vaksin

0
543

JIKA sebelum ini Ellie Suriaty Omar antara yang lantang menolak vaksin, kini pelakon berkenaan mendedahkan yang dia sudah pun melengkapkan dua dos suntikan vaksin beberapa bulan yang lalu.

Jelasnya, dia akur dengan perintah suaminya, pelakon Azri Iskandar yang terlebih dahulu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dan mengarahkannya berbuat yang demikian.

“Saya sudah ambil vaksin Sinovac kerana Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kan ambil vaksin berkenan. Jadi, kita ikut sahaja Menteri Kesihatan lah. 

“Saya ambil dos pertama pada lewat Oktober dan kemudian dos kedua (November). Saya dapat tawaran bekerja di Sarawak. Orang yang dah vaksin ke atau antivaksin, tiada siapa nak dijangkiti Covid-19. 

“Jadi, masing-masing pun dia ada dia punya cara-cara pencegahan. Begitu juga saya semasa belum divaksin. Saya tak pernah kena Covid sebab saya buat langkah pencegahan,” katanya.

Meskipun lantang menyuarakan pandangan tentang vaksin sebelum ini, Ellie turut menyatakan yang dia perlu taat kepada perintah suami.

Apa sahaja arahan Azri harus diikuti memandangkan dia ketua keluarga dan mahu mereka sekeluarga mengambil langkah awal pencegahan sebelum terjadi apa-apa di kemudian hari.

“Saya ambil vaksin sebab Azri Iskandar. Dia dah bagi saya masa hampir dua tahun untuk meluahkan apa yang patut diluahkan. Dia ada beritahu yang dia dah beri saya masa dua tahun dan sudah tiba masanya untuk saya ‘to call it quits’ (berhenti).

“Azri suami saya dan selagi dia masih lagi suami dan dia dah bagi saya tempoh (buat pertimbangan vaksin). Dia respek saya punya pendirian. Jadi, sudah tiba masanya saya kena ikut cakap suami.

“Jujur saya katakan, memang berperanglah sekejap dalam diri cakap ‘tak nak vaksin’ tapi dia suami saya dan saya sangat menghormatinya,” katanya ketika ditemui sempena pelancaran dilem Telaga Suriram pada Selasa.

Terdahulu polemik yang melanda Ellie dan isu vaksin diperkatakan ramai apabila dia dengan lantang menyuarakan pendapat sebelum ini.

Malah anak-anak kepada mereka juga pernah membuat laporan polis pada bukan Ogos yang lalu susulan arahan kerajaan yang mahu memberikan suntikan vaksin kepada pelajar sekolah ketika itu.

Azrell Omar Azri Iskandar, 17 bersama adiknya, Nur Azreen Omar Iskandar Azri Iskandar, 12, dan rakannya Muhammad Hanif Haikal Jeffery, 17 membuat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati.

Mereka tidak mahu mengambil vaksin kerana bimbang dengan risiko yang bakal dihadapi dengan alasan mereka masih sihat tubuh badan.

Dalam pada itu, Ellie menafikan sekeras-kerasnya dia tergolong dalam golongan anti vaksin seperti mana yang dilabelkan segelintir pihak.

“Kalaulah saya ni seorang anti vaksin, dari dulu saya takkan cucuk apa-apa vaksin pun.

“Lagipun apa yang saya persoalkan tentang vaksin Covid-19 ini adalah tentang keberkesanannya kerana dibuat secara terburu-buru,” tegasnya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here