Ketua Balai Bomba Kimanis parah dalam kemalangan

0
358

KETUA Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Paris Satu, Kinabatangan, Sabah pukul 3 petang tadi.

Mohd. Johainin Ruslan, 35, dan seorang lagi individu yang belum dikenal pasti identitinya mengalami kecederaan parah.

Isteri Johainin, Norlela Mohd Firdaus, 35, serta anak mereka, Nur Damia Maisarah, 7; Muhammad Muhyiddin Irfan, 6, dan adik kepada Norlela, Nurul Yusra, 20, hanya mengalami cedera ringan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Misran Bisara berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.13 petang.

Beliau memberitahu, lapan mangsa dilaporkan terbabit dalam kemalangan itu dan tujuh anggota dari BBP Kinabatangan dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 43 kilometer dari balai bomba itu.

“Kemalangan melibatkan tiga kenderaan iaitu pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax, lori dan Perodua Alza.

“Terdapat lapan mangsa dilaporkan terlibat iaitu dua cedera parah, empat cedera ringan manakala dua lagi selamat,” katanya ketika dihubungi.

Katanya lagi, semua mangsa dihantar ke Hospital Kinabatangan menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.

“Mangsa sebelum itu turut diberi rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) manakala mangsa yang parah dirujuk ke Hospital Sandakan untuk rawatan lanjut,” katanya.- SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here