[VIDEO] Pengaruh Anthony kuat, Warisan harus kerja lebih keras – Penganalisis

0
645

SELEPAS tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Warisan Sabah (Warisan) keluar parti, Naib Presidennya, Datuk Peter Anthony yang juga ADUN Melalap, hari ini mengumumkan perkara yang sama.

Beliau mengesahkan akan menubuhkan parti baharu yang mesra Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menyokong kerajaan negeri, kerana ia adalah jalan terbaik bagi menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi di Sabah.

Menurut Penganalisis politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abdul Muis, Peter melihat parti itu sudah tersasar daripada perjuangan asal iaitu ‘Parti for Sabahan’, susulan daripada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengembangkan sayap parti itu ke Semenanjung.

“Dia (Peter) lihat Warisan sudah tersasar, maksudnya mungkin dia tengok Warisan kembangkan sayap ke semenanjung ini, ataupun bila Warisan sudah nampak seperti ke belakang dalam konteks nak menjadikan ia ‘Parti for Sabahan’ dan sebagainya, mungkin itu antara punca.

“Mungkin masalah-masalah peribadi kepimpinan, kerana Peter dan yang lain kita anggap macam orang kanan di dalam Warisan, mungkin faktor begitu yang menyebabkan mereka keluar dari Warisan,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Tambah Mujibu, tindakan Peter itu sedikit sebanyak boleh menjejaskan keyakinan parti lebih-lebih lagi di kawasan Kadazandusun-Murut.

Ini kerana parti Warisan tidak begitu kuat dan kukuh di kawasan pedalaman negeri Sabah dan kerusi di kawasan Kadazandusun-Murut itu amat penting bagi parti tersebut.

“Ya betul sedikit sebanyak mungkin boleh menjejaskan keyakinan. 

“Tindakan Peter meninggalkan Warisan telah mengurangkan lagi kerusi-kerusi Kadazandusun yang menjadi majoriti pengundi di kawasan itu dan ini menyebabkan parti itu tidak mempunyai kekuatan di situ.

“Di kerusi pedalaman di Banjaran Crocker, ini antara kelemahan dia (Warisan), berbanding kawasan di pantai timur. Mungkin sedikit sebanyak terjejas,” ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, parti Warisan harus bekerja lebih keras bagi mencari tokoh-tokoh di dalam kepimpinan parti itu yang mempunyai pengaruh kuat di kawasan pedalaman Sabah.

“Peter antara pemimpin yang berpengaruh dalam konteks pengundi Kadazandusun-Murut. 

“Jadi bila dia keluar (parti), mungkin Warisan akan terpaksa kerja lebih keras untuk mencari siapa tokoh-tokoh yang ada dalam kalangan kepimpinan Warisan, yang mempunyai pengaruh untuk Kadazandusun-Murut,” katanya.

Peter adalah ADUN keempat Warisan yang keluar parti selepas ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir, ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan ADUN Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here