Buruh maut ketika sertai perlawanan bola sepak

0
260

SEORANG lelaki meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung ketika menyertai perlawanan bola sepak di padang bola Selising, Pasir Puteh, 6.30 petang semalam.

Mangsa, Dzulkiflee Daud, 53, yang bekerja sebagai buruh secara tiba-tiba pengsan ketika sedang berehat pada separuh masa pertama perlawanan.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal berkata berdasarkan keterangan, rakan mangsa memaklumkan mereka sedang berehat pada separuh masa pertama, dengan mangsa duduk sambil minum air dan makan sepotong pisang goreng sebelum tiba-tiba mengalami sesak nafas.

“Mangsa kemudiannya rebah di tepi padang. Rakannya juga memaklumkan mangsa pernah mengadu sakit dada beberapa hari sebelum perlawanan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, hari ini.

Ediansha berkata, mangsa yang tidak sedarkan diri dikejarkan oleh rakan-rakan ke Klinik Kesihatan Selising sebelum disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis bagi bedah siasat.

Beliau berkata, tiada sebarang rekod perubatan diperoleh dan semakan masih dijalankan bagi mengesan kematian mangsa yang bekerja sebagai buruh.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut akibat serangan jantung,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here