Pilih tarikh ‘cantik’, Uyaina & Raja Syahiran selamat bernikah

0
300

MEMILIH tanggal 21.12.21 sebagai tarikh untuk bersatu, akhirnya pelakon dan pengacara Uyaina Arsyad selamat bergelar isteri kepada Raja Syahiran dalam satu acara pernikahan pagi ini.

Dengan sekali lafaz, mereka selamat dinikahkan pada pukul 9.03 pagi bertempat di Colony by KLCC yang disaksikan keluarga terdekat.

Pasangan ini dinikahkan oleh abang kandung kepada Uyaina, Mohd Attaful Uzair Arsyad bersaksikan Pendaftar Penikahan Perceraian dan Rujuk Orang Islam Jabatan Agama Islam Wilayah Perseketuan, Mohd Abd Nasir Abdullah dan dua orang saksi.

Dalam majlis itu, Syahiran atau nama sebenarnya, Syahiran Raja Azhanrianshah, 28, menyerahkan mas kahwin sebentuk cincin dan gelang tangan emas buat Uyaina.

Bagaimanapun, tiada pertukaran dulang hantaran yang dibuat diantara kedua belah pihak dan jumlah wang hantaran tidak didedahkan atas persetujuan kedua belah keluarga.

Pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa ini melahirkan rasa syukur acara akad nikahnya berjalan dengan lancar biarpun pelbagai dugaan yang perlu ditempuh.

“Alhamdulillah, majlis pernikahan kami berjalan dengan lancar pada hari ini. Sebenarnya kami sudah merancang pernikahan ini sejak beberapa bulan lalu namun banyak pertukaran dari segi perancangan majlis.

“Ia berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang cepat berubah dan terkini. Selain itu, kejadian banjir terburuk yang berlaku pada dua hari sebelum nikah turut memberi cabaran kepada kami,” katanya wanita yang berusia 29 tahun ini.

Majlis akad nikah mereka dihadiri keluarga dan rakan terdekat sahaja seramai 100 orang dan mereka masih belum merancang untuk melangsungkan majlis resepsi.

Dalam pada itu, pasangan ini memilih Eropah sebagai destinasi bulan madu mereka namun terpaksa menangguhkan hasrat tersebut disebabkan variant baharu Covid-19.

“Jadi buat masa ini, kami bercadang untuk melawat keluarga dan saudara mara yang tidak dapat menghadiri majlis pernikahan untuk memperkenalkan satu sama lain dengan keluarga besar masing-masing,” ujarnya.

Sebagai info, mereka berkenalan pada awal 2019 di sebuah program terbitan Astro dan Uyaina dirisik keluarga Syahiran pada Julai tahun lalu. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here