Guru maut, kereta terbabas, rempuh tunggul pokok

0
424

SEORANG guru wanita maut apabila kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar tunggul pokok, sebelum terbakar dalam kemalangan di Jalan Kampung Telaga Papan, Setiu, Terengganu.

Mangsa, Nurul Salikin Abdul Aziz, 25, dikatakan dalam perjalanan bersama ahli keluarganya untuk meraikan pasangan pengantin baharu.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6 petang semalam itu turut menyebabkan dua adiknya, Siti Nur Ummi Nabihah, 19, dan Nur Qaseh Balqis, 10, dalam keadaan kritikal.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila mangsa yang memandu kereta jenis Honda City bersama dua adiknya, dalam perjalanan dari rumah mereka di Chalok Kedai menghala ke Pantai Penarik Rhu 10, bagi mengiringi kakaknya mengambil foto perkahwinan.

Bagaimanapun sejurus tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dinaiki tiga beradik itu dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan lalu terlanggar tunggul pokok sebelum terbakar.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Affandi Hussin berkata, kesemua mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum api merebak.

Semua mangsa telah dibawa ke Hospital Setiu untuk rawatan kecemasan bagaimanapun, Nurul disahkan maut oleh pegawai perubatan yang bertugas, manakala dua orang lagi penumpang mengalami kecederaan parah.

Kejadian itu disiasati mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here