Hanya tersalah hantar nombor TAC, jururawat rugi RM30,000

0
424

SEORANG jururawat kerugian RM30,000 selepas membantu menghantar semula nombor kod pengesahan transaksi (TAC) yang tersalah hantar ke telefonnya, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, nasib malang menimpa jururawat itu berlaku selepas dia menerima panggilan daripada pemanggil tidak dikenali ketika berada di rumah pada petang kelmarin.

Menurutnya, pemanggil langsung tidak memperkenalkan diri sebaliknya terus meminta mangsa menghantar kembali nombor TAC yang diterima.

“Pemanggil memberi alasan dia tersalah daftar nombor telefon dalam maklumat akaun banknya kepada nombor telefon mangsa.

“Mangsa segera berbuat demikian tanpa menyedari ia taktik sindiket penipuan untuk melesapkan wang dalam akaun banknya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hasil semakan mendapati berlaku penolakan RM15,000 daripada akaun itu dan RM15,000 lagi daripada akaun Tabung Haji.

Mohd. Wazir berkata, susulan kejadian mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Mentakab, semalam.

“Polis membuka kertas siasatan kes di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here