Najib mengaku main golf ketika lawat cucu di Singapura

0
413


DATUK Seri Najib Tun Razak hari ini mengakui selain melawat cucu di Singapura, beliau turut mengambil kesempatan itu bermain golf bersama jutawan Singapura yang dikenalinya ketika menjadi Perdana Menteri dahulu.

“Itu pun jadi isu? Tak kan saya bersama cucu 24 jam setiap hari selama tempoh 6 hari saya berada di Singapura?,” tulis Najib di Facebook beliau hari ini.

Najib yang dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi, mengeluarkan kenyataan itu bagi membidas kritikan sesetengah pihak terhadapnya selepas tular gambar beliau bersama jutawan Sam Goi jutawan Singapura yang juga dikenali sebagai ‘popiah king’.

Netizen menyifatkan tindakan Najib bermain golf bersama Sam Goi yang juga pemilik projek Sutera Harbour Resort  di Sabah sebagai menyalahgunakan ‘tiket’ pelepasan passport  yang diberikan mahkamah kepadanya untuk melawat anak dan cucu di.Singapura.

Pada Oktober lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara bermula 20 Oktober hingga 22 November untuk menemani anaknya, Nooryana Najwa di Singapura yang bakal melahirkan anak kedua.

Pada 3 November pula Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib meminda tarikh bagi pelepasan dan pemulangan pasportnya untuk ke Singapura, mulai 25 Oktober hingga 6 Disember.

Pada Rabu lalu (8 Disember), Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Najib bersabit kes pertuduhan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd selepas rayuannya ditolak.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan – Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera – membuat keputusan menolak rayuan bekas Perdana Menteri itu selepas mendapati permohonan Ahli Parlimen Pekan itu tidak mempunyai merit.

Mengulas lanjut mengenai gambar beliau bersama jutawan itu di padang golf di Singapura, Najib berkata Sam Goi kini berada di tempat ke-23 dalam senarai Forbes paling kaya di Singapura dengan kekayaan AS$1.7 bilion.

“Ya, kereta Rolls-Royce itu adalah milik dia.

“Dia juga telah melabur di Malaysia dan kini memiliki projek Resort Sutera Harbour di Sabah,” kata Najib.

Katanya, jutawan itu memberitahu bahawa beliau (Sam Goi) adalah peminat dasar-dasar ekonomi dan pembangunan ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan telah meminta untuk diperkenalkan kepadanya.

“Masa kita bertemu, dia banyak meminta pandangan saya tentang hala tuju pembangunan dan ekonomi negara sebab dia ingin lebih melabur di Malaysia.

“Adakah ianya salah bagi saya untuk gunakan masa peribadi saya untuk beri pandangan saya kepada pelabur asing yang ingin melabur ke Malaysia biarpun saya bukan PM lagi dan bukan Menteri?,” soal Najib.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here