Suami isteri pilu terima skrol arwah anak di konvokesyen UMT

0
284

KEMERIAHAN Majlis Konvokesyen Ke-18 (Siri Dua) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini bertukar pilu seketika apabila sepasang suami isteri mewakili anak lelaki yang meninggal dunia akibat kemalangan pada September 2020, untuk menerima skrol ijazah, hari ini.

Suasana sedih menyelubungi dewan apabila hadiri sama-sama berdiri bagi menyedekahkan bacaan surah al-Fatihah ketika Adnan Endut, 57 dan isterinya Roziana Wahab, 48, naik ke pentas untuk menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Sains Agro Teknologi (Akuakultur) Allahyarham Muhammad Amirul Bakhtiar.

Adnan ketika ditemui pemberita berkata beliau sangat berterima kasih dengan penghargaan luar biasa diberi UMT kepada Allahyarham anak sulungnya itu.

“Hampir setahun saya tidak lagi mengalirkan air mata setelah dia pergi, namun hari ini air mata gugur juga….perasaan itu sukar digambarkan tatkala berada di pentas, teringat kenangan manis bersamanya dahulu.

“Allahyarham sangat sayangkan UMT dan sering berkongsi keterujaannya kerana memiliki rakan dan pensyarah yang sangat baik,” katanya yang bekerja di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Menurut Adnan, Allahyarham pernah menyatakan hasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana di UMT selepas tamat Ijazah Sarjana Muda.

Allahyarham Muhammad Amirul Bakhtiar meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada 29 Sept tahun lepas setelah koma selama lima hari akibat kemalangan jalan raya.

Sementara itu, Roziana berkata dia berbangga dengan sumbangan dan pencapaian anaknya sepanjang berada di UMT termasuk dipilih sebagai Majlis Perwakilan Pelajar dan lantang bersuara membantah cadangan penggabungan UMT dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

“Semoga kecemerlangan, adabnya yang baik dan kenangan di UMT hari ini akan menjadi pembakar semangat untuk adik kesayangan Allahyarham Muhammad Azfan Zariff, 11, untuk mengikut jejak langkah abangnya,” katanya.

Majlis konvokesyen yang berlangsung selama tujuh hari bermula Isnin lepas (6 Dis) meraikan seramai 2,878 graduan iaitu 52 graduan Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana (152), Ijazah Sarjana Muda (2,559) dan Diploma (115).

Sementara itu, atlet kuda lasak negara Azizatul Asma Abdullah, 25, yang menerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan hari ini menzahirkan penghargaan kepada keluarga dan pensyarah yang sentiasa memberi sokongan kepadanya.

“Dalam kesibukan dengan jadual latihan, saya cuba membahagikan masa sebaiknya untuk pelajaran. Alhamdulillah berjaya hari ini untuk mendapatkan segulung ijazah,” katanya yang akan mula menyertai kejohanan kuda lasak tahun depan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here