PRN Sarawak: Ali Biju tarik diri bertanding di DUN Krian

0
334


NAIB Pengerusi Bersatu Sarawak Datuk Ali Biju hari ini mengumumkan keputusan untuk menarik diri daripada bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12.

Dalam satu kenyataan, penyandang kerusi DUN berkenaan berkata beliau menginsafi hakikat bahawa keputusannya bertanding di kerusi itu akan menjejaskan hubungan baik antara Bersatu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Saya telah mendapat nasihat daripada pimpinan tertinggi parti serta jaminan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Perikatan Nasional mengenai persefahaman kerangka besar politik nasional yang disepakati antara Perikatan Nasional dan Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku Pengerusi GPS,” katanya.

Keputusannya sebelum ini untuk mempertahankan kerusi DUN itu sebagai calon Bebas dilihat bercanggah dengan keputusan diumum Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu bahawa parti itu tidak akan mengambil bahagian dalam PRN12.

Abang Johari juga semalam dalam satu sidang media melahirkan rasa kecewanya dengan tindakan Ali kerana menurutnya sebelum ini sudah ada persetujuan bahawa tidak akan ada calon Bersatu yang akan bertanding pada pilihan raya ini.

Dengan keputusan itu, kerusi DUN Krian kini akan menyaksikan persaingan antara tiga calon yakni Musa Dinggat yang mewakili Parti Sarawak Bersatu (PSB), calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Danny Kuan dan calon GPS Friday Belik. 

Ali yang juga Ahli Parlimen Saratok memenangi kerusi DUN berkenaan pada PRN 2011 dan 2016.

Mengulas lanjut, Ali yang merupakan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata selaras dengan keputusan beliau untuk menarik diri, beliau dengan ini memberi sokongan penuh kepada calon GPS, Friday.

Beliau turut menyeru seluruh pengundi di DUN Krian, DUN Kalaka dan DUN Kabong di bawah Parlimen Saratok untuk memberi dukungan padu kepada calon-calon GPS.

“Saya penuh yakin bahawa muafakat ini adalah untuk meneruskan dan memperkukuhkan hubungan yang utuh antara Perikatan Nasional dan GPS,” katanya. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here