Sorotan semula sabitan kes SRC sementara menunggu keputusan rayuan Najib

0
333

Bekas perdana menteri Najib Razak berdepan hukuman penjara 12 tahun jika Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitannya bagi beberapa pertuduhan berkaitan penyelewengan jutaan ringgit yang dikaitkan dengan SRC International.

Menurut laporan MalaysiaNow, pasukan pembelaan Najib mencabar keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali tahun lalu yang menjelaskan dengan terperinci asas sabitan dalam penghakiman setebal 800 muka surat.

Najib, ahli politik Malaysia paling kanan pernah disabitkan pertuduhan jenayah, didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, jenayah pecah amanah (CBT) dan pengubahan wang haram.

Hukuman sebenar yang sepatutnya dijatuhkan kepada beliau ialah 72 tahun penjara, 10 tahun bagi enam pertuduhan berkaitan CBT dan pengubahan wang haram, dan 12 tahun kerana kesalahan salah guna kuasa.

Najib turut didenda RM210 juta, iaitu lima kali ganda daripada jumlah yang diseleweng.

Bagaimanapun, hakim Nazlan menggunakan budi bicaranya, mengarahkan hukuman tersebut dijalankan secara serentak.

Kes tersebut memberikan tumpuan terhadap sejumlah RM42 juta dalam dua akaun bank peribadinya, wang yang merupakan sebahagian daripada RM4bilion dana Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan ( KWAP) yang dipinjamkan kepada SRC – anak syarikat 1MDB di mana Najib adalah penasihatnya.

Najib berhujah beliau tidak mengetahui transaksi besar yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya antara 2014 dan 2016, mendakwa menjadi mangsa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.

Malah beliau juga turut memetik nama pemimpin Arab Saudi, Raja Abdullah.

Dakwaan Najib yang berkata wang itu adalah sebahagian daripada sumbangan peribadi raja Arab Saudi kepadanya ditolak oleh Nazlan.

Nazlan berkata “sangat tidak masuk akal” bagi Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan untuk mendakwa tidak mengetahui dana dalam akaunnya sendiri “namun beliau tidak teragak-agak untuk membelanjakan jumlah tersebut dalam tempoh yang sama”.

Mengenai tuduhannya terhadap Low, atau Jho Low, mahkamah berkata Jho Low hanya menjalankan tugas yang diarahkan Najib “dengan cemerlang”.

“Tertuduh, walaupun didakwa ditipu, bersetuju bahawa beliau tidak kehilangan sebarang wang. Sebaliknya beliau mendapat manfaat yang besar dengan kemasukan sejumlah besar wang ke dalam akaunnya,” menurut penghakiman itu.

Empat pucuk surat

Pasukan pembelaan Najib mengemukakan empat surat daripada “kerabat diraja Saudi”, kononnya derma besar akan diberikan kepadanya.

Namun hakim berkata kisah daripada surat-surat itu adalah “satu rekayasa yang lemah”, menghuraikan “10 masalah” yang ada pada dokumen tersebut, yang dikatakan pihak pendakwaan sebagai dokumen palsu.

Antara “masalah” yang ada pada dokumen itu, kata hakim, ialah salah satu surat yang menjanjikan sejumlah besar wang untuk Najib ditandatangani oleh seorang “Putera Arab Saudi”.

Hakim mempersoalkan bagaimana Najib yang mengaku tidak mengenali individu tersebut, tidak pernah mengambil langkah untuk membuat sebarang pengesahan mengenai dakwaan penulis surat itu.

Hakim juga menemui kelemahan dalam dakwaan Najib tersebut, mempersoalkan mengapa beliau tidak menyebut ucapan terima kasih kepada Raja Abdullah dalam dua suratnya kepada kerajaan Arab Saudi terhadap derma yang didakwa diperolehinya daripada mereka.

“Pembelaan tertuduh yang mengatakan dia secara jujurnya percaya dana yang dimasukkan ke dalam akaunnya adalah derma dari Raja Abdullah hanyalah satu rekaan yang tidak masuk akal.”-MalaysiaNow

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here