Sembilan individu dijangka dituduh isu seleweng geran MITRA

0
467

SEKURANG-KURANGNYa sembilan individu dijangka didakwa di mahkamah berkaitan kes penyelewengan geran peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), awal tahun depan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata individu terbabit adalah daripada 10 syarikat penerima geran berkenaan yang disiasat SPRM sebelum ini.

“Kita dah di peringkat akhir (siasatan) dan membuat perbincangan dengan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) beberapa kali,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kolokium Antirasuah ‘Adat Perpatih Melingkari Hidup Berintergriti’ hari ini. 

Dalam pada itu, beliau berkata 17 lagi syarikat masih sedang disiasat berhubung kes berkenaan dan akan diteruskan dengan syarikat lain secara berfasa selain ia memerlukan tempoh yang agak panjang berikutan penyiasatan melibatkan rasuah dan agak rumit.

Pada 22 November lepas, Azam berkata kertas siasatan melibatkan 10 syarikat yang menerima geran peruntukan MITRA akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk proses perundangan selanjutnya.

Sebelum ini, SPRM dilaporkan sedang meneliti semua permohonan, laporan perbelanjaan dan program yang dikatakan telah dilaksanakan penerima geran peruntukan MITRA sejak 2019 hingga 2021 susulan penahanan beberapa pengarah syarikat yang disyaki terlibat dengan penyelewengan geran itu.

Sebanyak 337 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dikenal pasti telah diluluskan geran peruntukan oleh MITRA sejak 2019 hingga 2021 dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM203 juta. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here