Kerana tidak puas hati, telinga lelaki hampir putus dilibas parang

0
302

SEORANG lelaki hampir putus telinga manakala rakan saudaranya patah tulang tangan kanan akibat dilibas parang oleh rakan sendiri dalam satu kejadian di Sepang semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata pada jam 7.40 pagi semalam, mangsa pertama yang berusia 24 tahun itu pada mulanya melihat suspek dalam keadaan marah.

“Mangsa ketika itu hendak pergi kerja melihat suspek sedang menendang tayar keretanya dalam keadaan marah sebelum menegur tindakan dilakukan lelaki berkenaan.

“Kemudian berlakunya pertengkaran antara kedua-dua mereka. Namun pada jam 12 tengah hari ketika mangsa dan saudaranya yang berusia 41 tahun, sedang berehat di tempat letak motosikal di bawah blok rumah, mereka didatangi suspek yang membonceng motosikal ditunggang seorang remaja berusia 13 tahun.

“Suspek secara tiba-tiba mengeluarkan parang dan terus melibaskan ke arah kedua-dua mangsa sebelum melarikan diri,” katanya pada sidang media mengenai Ops Roda yang dilaksanakan oleh Balai Polis Cyberjaya, hari ini.

Berikutan itu, Wan Kamarul berkata, mangsa pertama mengalami patah tulang tangan kanan, manakala mangsa kedua pula mendapat kecederaan di telinga kiri iaitu hampir putus dan dihantar ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut.

Beliau berkata ketangkasan pihaknya berjaya menahan suspek berusia 28 tahun yang berada di pusat beli belah berdekatan Kota Warisan.

“Hasil siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan mempunyai dua rekod lampau. Bagaimanapun, parang atau senjata yang digunakan oleh suspek yang dibuang di tempat kejadian masih belum ditemui. Suspek disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here