Abang Jo pindah kawasan bukti fokus juga diberikan kepada luar bandar – Fadillah

0
497

KEPUTUSAN Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk beralih angin bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 menunjukkan beliau bukan hanya memberi fokus kepada pembangunan kawasan bandar, tetapi juga di luar bandar.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata keputusan itu menidakkan anggapan beberapa pihak bahawa Ketua Menteri itu hanya memberi tumpuan kepada Bandar Raya Kuching semata-mata.

“Pertukaran kerusi ini bergantung kepada situasi yang memerlukan. Ada penyandang yang berhenti atau memberi peluang kepada orang lain untuk bertanding.

“Macam Ketua Menteri (Abang Johari) nak mewakili Gedong, dengan beliau mewakili kawasan separa bandar dan luar bandar itu, ini menunjukkan fokus terhadap luar bandar itu akan diberikan banyak tumpuan. Itu mungkin mesej yang mahu disampaikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sepakat@Komuniti Keluarga Malaysia hari ini.

Semalam, Abang Johari yang juga Presiden PBB dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengesahkan akan bertanding di Gedong dalam PRN ini, “berpindah” daripada kerusi Satok, yang terletak berhampiran Bandar Raya Kuching, yang disandangnya sejak sembilan penggal lepas.

DUN Satok yang dipegang Abang Johari sejak 1981 akan ditandingi Timbalan Ketua Cawangan PBB Satok Datuk Ibrahim Baki pada PRN-12.

Fadillah menyuarakan keyakinan terhadap kredilibiti Ibrahim yang telah lama berkhidmat kepada rakyat.

“Beliau memang dah beri perkhidmatan lama dah. Orang dah kenal dan dia banyak berada di lapangan dan insya-Allah (beliau) diberi sokongan,” katanya.

Fadillah berkata kesemua calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) kali ini menampilkan gabungan yang baik antara orang ‘lama’ dan orang muda.

Sementara itu, Fadillah menyambut baik keputusan keputusan Barisan Nasional (BN) untuk tidak membenarkan penggunaan bendera dan logo Dacing BN dalam kempen GPS bagi PRN Sarawak.

Katanya keputusan itu menunjukkan BN menyedari keupayaan GPS untuk memimpin negeri itu.

“Itu semangat setiakawan, jadi kita sambut baik, walaupun kita bukan lagi bersama BN dari segi gabungan parti. Mungkin mereka menyedari GPS boleh mempimpin Sarawak sebab itu mereka menyokong GPS untuk terus menerajui Sarawak,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hassan dalam satu sidang media memaklumkan keputusan itu, seterusnya menjadikan BN secara rasmi tidak menyertai PRN Sarawak buat pertama kali.

SPR menetapkan hari penamaan calon pada 6 Disember ini, pengundian awal pada 14 Disember manakala 18 Disember pula hari pengundian PRN Sarawak. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here