Anwar tidak nafi dakwaan intai peluang bertanding di Johor

0
302

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menafikan dakwaan ‘mengintai’ kerusi Parlimen di Johor untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Namun Ahli Parlimen Port Dickson itu menganggap masih terlalu awal untuk beliau memutuskan bertanding di kerusi mana dalam PRU-15.

“Yaka? Di mana? Simpang Renggam dia (Dr. Maszlee Malik) tidak bagi tapi seperti mana biasa ini terlalu awal.

“Mereka baca (nampak) sebab saya datang ke sini di Kluang dan Simpang Renggam. Saya tidak kata tidak, tapi saya tak tahu,” katanya ketika ditemui selepas Program Jelajah Presiden PKR di Kampung Baru Machap, Simpang Renggam, Kluang, hari ini.

Terdahulu, Anwar menerima borang keahlian PKR daripada Dr. Maszlee dan 500 ahli baharu ke dalam Cabang Simpang Renggam di Dewan itu.

Sebelum ini, terdapat ura-ura Ketua Pembangkang itu mungkin akan bertanding di Parlimen Batu Pahat, Tebrau atau Segamat yang kini disandang bekas wakil rakyat PKR yang melompat ke parti lain.

Mengenai kemasukan Maszlee ke dalam PKR yang diumum secara rasmi hari ini, Anwar berkata, kemasukan Ahli Parlimen Simpang Renggam itu memberi suntikan baharu yang sangat bermakna kepada parti.

“Beliau mewakili barisan golongan muda yang boleh memperkuatkan lagi kedudukan parti,” katanya.

Ketika ditanya adakah itu memberi bayangan awal Maszlee akan mempertahankan kerusi Simpang Renggam di bawah tiket PKR, Anwar berkata, perbincangan ke arah itu akan dilakukan selepas ini.

“Soal kerusi belum lagi kita bincang tapi tentulah kenyataan beliau diambil kira tentang prestasinya sebagai antara Ahli Parlimen yang banyak turun ke bawah dan prestasi ketika menjadi menteri yang saya percaya akan diberi pertimbangan,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here