PRN Sarawak: PKR usah buang masa, tenaga lagi – DAP

0
455

PKR ‘dinasihatkan’ untuk tidak “membuang masa dan tenaga” membicarakan isu agihan kerusi Pakatan Harapan (PH) yang didakwa mereka sebagai tidak sah.

Sebaliknya, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Cheng Jien menasihatkan PKR negeri itu memberi fokus penuh kepada 47 kerusi yang akan mereka tandingi di bawah persetujuan bersama dan berusaha memenangi sebanyak mungkin kerusi.

“Jangan bazirkan masa dan tenaga yang berharga untuk merebut kerusi hingga terlupa matlamat untuk menang dalam perang menentang GPS (Gabungan Parti Sarawak),” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

‘Nasihat’ Cheng Jien itu rentetan kenyataan, PKR Sarawak yang mendakwa perjanjian rundingan kerusi PH negeri itu terbatal dan tidak sah kerana dikatakan dibuat di antara DAP dengan bekas pengerusi PKR, Larry Sng, dan tidak mendapat persetujuan akar umbi.

PKR juga mendakwa mereka telah cuba merundingkan pengagihan kerusi untuk menghadapi PRN tidak lama lagi namun ditolak DAP Sarawak.

Terdahulu, pada 2 Januari lalu, PH Sarawak bersetuju agar PKR bertanding di 47 kerusi, manakala DAP 26 dan Amanah di sembilan yang lain.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Larry, Cheng Jien dan Pengerusi Amanah Sarawak, Abang Abdul Halil Abang Naili.

Pun begitu, pada Februari, Larry melompat meninggalkan PKR untuk menjadi Ahli Parlimen bebas yang mesra Perikatan Nasional (PN).

Kata Cheng Jien, persetujuan di antara ketiga-tiga parti berkenaan didahului dengan banyak pusingan rundingan dan bukan sekadar melibatkan Larry.

Malah, jelas beliau selanjutnya, turut kerap dihadiri beberapa ahli jawatankuasa negeri dari PKR, seperti Joshua Jabeng dan Abang Zulkifli Abang Engkeh yang kini memangku jawatan Pengerusi PKR Sarawak.

“Pada hari tersebut, Larry menandatangani (persetujuan) bagi pihak jawatankuasa PKR negeri, yang ramai juga hadir. Itu merupakan keputusan jawatankuasa negeri secara keseluruhan, bukan keputusan Larry seorang.

“Hanya kerana Sng kemudian meninggalkan PKR, ia tidak bermaksud semua keputusan terdahulu terbatal dan harus dikaji semula.

“Bukan begitu caranya (dalam) perjanjian. Ia perjanjian di antara parti dengan parti, perubahan seorang pemegang jawatan tidak memberi kesan kepada kesahihan perjanjian itu. Di pihak kami pun (DAP Sarawak) telah mengalah dalam beberapa kerusi bagi mencapai perjanjian pada 2 Januari itu,” katanya lagi.

Cheng Jien sebelum ini mengumumkan calon DAP untuk 18 kerusi yang bakal ditandingi mereka, termasuk di Kemena, Senadin, Pujut dan Piasau.

PKR Sarawak sebelum ini meminta untuk bertanding di empat kerusi tersebut, tetapi DAP “enggan terlibat dalam sebarang rundingan”. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here