Kantoi sorok 304 biji pil yaba di celah pelepah kelapa dalam kebun

0
402

KELIBAT seorang lelaki yang dalam keadaan mencurigakan semasa polis melakukan rondaan di sebuah kebun di belakang sebuah rumah di Kampung Bechah Tendong, Pasir Mas, semalam, membongkar kepada penemuan 304 biji pil yaba.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, pihaknya melakukan rondaan di kawasan berkenaan pada pukul 5.30 petang dan menemui suspek, 41, di kawasan itu.

“Semasa penemuan berkenaan, suspek menggenggam empat biji pil yaba di tangan kanannya dan pemeriksaan lanjut menemui 300 biji pil yaba di dalam plastik hijau yang diletakkan di celah pelepah kelapa di kawasan yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, keputusan ujian saringan awal polis mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai empat rekod lampau melibatkan dadah.

Suspek yagn tidak bekerja katanya, mengaku dadah yang dijumpai adalah miliknya dan memberitahu bekalan berkenaan diperoleh daripada seorang individu yang tinggal di sebuah kampung di Kota Bharu.

“Siasatan akan diteruskan untuk mengenal pasti maklumat lanjut berkenaan individu berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, nilai rampasan keseluruhan adalah sebanyak RM3,040 dan kes disiasat di bawah Seksyen 39(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta yang sama. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here