1.7 juta batang rokok tidak bercukai bernilai hampir setengah juta dirampas

0
421

POLIS Pulau Pinang merampas sebanyak 1,718,8000 batang rokok iaitu bersamaan 85,940 kotak rokok tidak bercukai pelbagai jenama bernilai RM482,000 dalam beberapa serbuan di sekitar Bukit Mertajam dan Butterworth semalam.

Rampasan itu dilakukan dalam serbuan bermula pukul 7.50 pagi di premis rumah kedai dan di dalam empat buah van yang mana empat lelaki warga tempatan turut ditahan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, serbuan pertama dibuat di sebuah premis kosong di Taman Kota Permai yang mana pelbagai jenama rokok disyaki tidak bercukai dijumpai disimpan di dalam premis berkenaan manakala tiga lelaki berusia lingkungan 30-an turut ditahan.

Ekoran tangkapan itu katanya, polis menyerbu beberapa premis lain di sekitar Bukit Mertajam dan Butterworth dengan seorang lagi suspek lelaki tempatan berusia 30-an ditahan selain sejumlah rokok pelbagai jenama turut dirampas.

“Hasil siasatan awal mendapati premis-premis tersebut dijadikan gudang penyimpanan rokok tidak bercukai untuk dijual kepada pelanggan mengikut permintaan khususnya di sekitar Pulau Pinang.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Shafee, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here