Sungai Masai tercemar lagi?

0
542

Oleh RAHIMI MOHAMAD

SELEPAS dihantui masalah air berwarna hitam yang berlarutan sejak 10 tahun lalu, penduduk Kampung Pasir Gudang Baru, di Pasir Gudang kini dihantui pula dengan kejadian tompokan berwarna putih yang penuh di permukaan Sungai Masai.

Keadaan itu mengundang tanda tanya penduduk yang pelik dengan kejadian terbabit, malah kira-kira 250 nelayan pesisir pantai di kampung itu turut mengambil tindakan ‘gantung enjin’ sementara dengan tidak turun ke laut.

Mereka khuatir bahan yang berkemungkinan sisa pencemaran itu bukan sahaja merosakkan peralatan bot dan menangkap ikan, bahkan dibimbangi hasil tangkapan juga tidak selamat untuk dimakan.

Ketua Kampung Pasir Gudang Baru, Daud Saad berkata, penduduk mendakwa sudah melihat tompokan putih itu sejak empat hari lalu dan keadaan tersebut semakin membimbangkan hari ini.

“Kita harap keadaan ini tidak begitu serius kerana sebelum ini pun penduduk terpaksa menanggung akibat apabila air berwarna hitam kerana masalah kumbahan. Penduduk baru sahaja lega tetapi masalah lain pula dialami,” katanya ketika ditemui di kampung itu, hari ini.

Nelayan tempatan mendakwa mereka sudah empat hari tidak turun ke laut kerana pencemaran terbabit menyukarkan pergerakan dan meninggalkan kesan pada dasar bot

Nelayan, Hassan Mohamad, 60, berkata, setelah mengetahui kejadian itu, dia sudah empat hari tidak turun ke laut kerana keadaan terbabit menyukarkan pergerakan dan meninggalkan kesan di dasar bot miliknya.

“Kami tidak tahu kesannya jika melekat pada enjin bot, apatah lagi kawasan tompokan putih ini mencapai jarak sehingga dua kilometer. Saya tidak pernah melihat kotoran seperti itu sejak 40 tahun menjadi nelayan malah permukaan air kelihatan seperti diselaputi bahan kimia,” katanya.

Seorang lagi nelayan, Alimman Jamal, 48, mahu agensi berkaitan mengambil tindakan segera kerana penduduk terutama nelayan sukar mencari rezeki.

“Ini bukan hanya kerana pencemaran tetapi kami akan mengalami kerugian jika peralatan rosak. Sekarang semua barang bukan murah dan ia akan jadi beban sekiranya terjadi apa-apa kejadian. Bot mungkin boleh dicuci tapi kos ganti jaring atau pukat lebih tinggi jika rosak,” katanya.

Penduduk, Jamil Hussein, 50, turut berharap tindakan segera dapat diambil kerana perkara itu turut membabitkan keselamatan penduduk.

“Kita sebenar risau juga sebab tidak tahu ia bahan apa. Jadi perlu tahu keputusan cepat sama ada memudaratkan atau sebaliknya. Sebahagian besar penduduk di sini adalah nelayan yang menjadi punca rezeki mereka, malah kita juga perlu tahu sama ada hasil tangkapan selamat untuk dimakan atau sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) Zon Rinting 2, Mohd. Azizi Mohmad berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak berkaitan dan laporan juga telah disampaikan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Siasatan awal pihak JAS mendidapati terdapat beberapa kemungkinan termasuk sisa minyak atau bahan lain yang menyebabkan pencemaran tersebut

“Saya sendiri telah melihat keadaan ini dan laporkan kepada pihak berkaitan. Kita tidak mahu perkara ini berlarutan kerana di sini juga bukan semata-mata perkampungan nelayan sahaja tetapi menjadi tarikan pelancongan terutama kaki pancing,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor telah mengambil sampel sisa buangan di sungai terbabit untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tindakan lanjut kerana sisa buangan berkenaan bukanlah bahan yang biasa ditemukan dalam insiden pencemaran.

Pengarah JAS negeri, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, berdasarkan siasatan awal, didapati terdapat beberapa kemungkinan termasuk sisa minyak atau bahan lain dalam kejadian yang pertama kali berlaku di kawasan itu.

“JAS perlu siasat dan dapatkan maklumat lebih terperinci memandangkan bahan yang kita lihat berbeza daripada kejadian pencemaran yang lalu, ia lebih kepada serbuk dan berdebu,” katanya.

Menurut Mohd. Famey, pihaknya juga akan meminta kerjasama daripada Jabatan Kimia untuk mempercepat siasatan berhubung kandungan sisa buangan itu bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dilakukan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here