Anggota PGA dipatuk ular semasa operasi

0
426

Oleh RIZQI ZABIDI

SEORANG anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 18 Pengkalan Hulu terpaksa menanggung kesakitan selama beberapa jam apabila dia dipatuk seekor ular dipercayai spesies kapak sumatera, di kawasan yang sukar diteroka di Hutan Simpan Ulu Muda, Gubir dekat Sik, semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 4.47 petang semalam.

Katanya, anggota tersebut yang berpangkat koperal dan berusia 38 tahun dipercayai sedang menjalankan tugas operasi dalam hutan berkenaan bersama-sama beberapa anggota lain.

Mangsa sukar dibawa turun oleh rakan-rakannya kerana faktor muka bumi yang cerun dan berbukit

“Difahamkan mangsa sukar dibawa turun oleh rakan-rakannya kerana faktor muka bumi yang cerun dan berbukit. Mangsa dianggarkan berada pada paras 500 meter dari aras laut.

“Justeru pada pukul 6.40 petang, pihak kami dibantu pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta dua anggota PGA Batalion 18 Pengkalan Hulu menyertai operasi untuk membawa turun mangsa,” katanya ketika dihubungi Satu Berita, hari ini.

Tambahnya, operasi tersebut berdepan kesukaran kerana tiada liputan radio komunikasi mahu pun telefon mudah alih di kawasan tersebut.

Terpaksa menanggung kesakitan selama beberapa jam apabila dia dipatuk seekor ular dipercayai spesies kapak sumatera

“Perhubungan antara kedua-dua pihak terpaksa dilakukan dengan menggunakan satelit fon PGA. Akhirnya pada pukul 10 malam, barulah pasukan penyelamat tiba di lokasi mangsa dan dia diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan PGA.

“Akhirnya pada pukul 12.37 pagi, mangsa selamat dibawa turun dan dihantar ke Hospital Sik dengan menaiki jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). Mangsa yang dipatuk di tangan dilaporkan berada dalam keadaan selamat,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here