[VIDEO] Rider dakwa ditindas, terima bayaran rendah

Dakwa majikan tidak adil, tidak pedulikan aduan pekerja

0
717

MAJORITI daripada pekerja penghantar makanan adalah golongan yang mencari rezeki selepas hilang punca pendapatan dan ada juga yang mencari pendapatan sampingan terutama akibat pandemik Covid-19. 

Baca berita berkaitan: [VIDEO] Bukan senang nak jadi ‘rider’, selalu kena marah

Tidak ramai yang menyedari kelompok ini sebenarnya berdepan isu ‘ditindas’ majikan yang dilihat tidak adil dalam soal bayaran, kebajikan atau jaminan keselamatan. 

Namun, disebabkan faktor-faktor tertentu, kumpulan penghantar makanan ini terpaksa terus berkerja demi menyara hidup terutama mereka yang hilang pekerjaan akibat Covid-19.

SatuBerita mengupas perkara ini dan menemui beberapa penghantar makanan atau popular dengan gelaran ‘rider’ dan mereka mengakui masalah yang berlaku, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa.

Seorang daripada mereka yang cuma dikenali sebagai Izzmir, 23, mengakui kadar bayaran ditetapkan pihak pengurusan semakin berkurangan menyebabkan dia terpaksa berkerja lebih masa.

“Sebagai rider, saya terpaksa kerja lebih masa. Kalau dulu saya kerja dalam tempoh sehingga lapan jam untuk mencapai sasaran harian, tetapi sekarang terpaksa berkerja sehingga 10 jam untuk mencapai jumlah yang sama,” katanya ketika ditemui. 

Izzmir yang bekerja untuk GrabFood mendakwa mereka tidak mampu berbuat apa-apa kerana itulah yang telah ditetapkan majikan. 

Bahkan, katanya jumlah cuti juga terpaksa dikorbankan kerana sukar mencapai sasaran harian yang berpunca daripada kadar bayaran yang semakin berkurangan. 

“Saya rasa tidak puas hati sedikit, tetapi dengan keadaan semasa sekarang terpaksalah teruskan kerja untuk teruskan kehidupan kerana saya tiada pilihan lain,” katanya. 

Sementara itu, Shin, 23, yang juga rider makanan FoodPanda turut berkongsi ketidakadilan yang dihadapi kelompok rider.

“Biasanya tambang dan jarak tidak adil kerana pihak majikan mengira jarak menggunakan pembaris (di atas kertas) tanpa mengira jarak (sebenar) yang perlu dilalui rider. 

“Kadang-kadang pihak majikan sudah menetapkan bayaran minimum tetapi bayaran tersebut akan dikurangkan lagi,” katanya. 

Menurut Shin, dia juga pernah menyuarakan ketidakpuasan hati mereka kepada pihak atasan, namun tiada sebarang maklum balas. 

“Benda (isu) ini dah banyak kali jadi dan ramai yang cuba ketengahkan isu ini, Namun tidak boleh buat apa sebab ia sudah melibatkan pembayaran dan tidak diendahkan oleh pihak atasan.

“Memang kami ditindas dan ada juga yang beralih ke syarikat lain yang lebih berbaloi,” tegasnya. 

Selain itu, Shin turut menekankan tentang ranking pembayaran yang telah ditetapkan oleh pihak FoodPanda yang membuatkan rider tertekan kerana bayaran adalah berbeza mengikut ranking.

“Inilah salah satu syarikat yang lain ranking lain bayarannya, kalau dibandingkan dengan syarikat lain, bayaran mereka seragam tanpa mengikut ranking,” katanya yang terpaksa bekerja lebih keras bagi mendapatkan bayaran tinggi.

“Kadang-kadang ada masalah dalam sistem yang menyebabkan ranking jatuh, ini yang menampakkan kami ditindas oleh pihak atasan. 

“Walaupun kita jaga ranking betul-betul pun belum tentu kita boleh berada di ranking atas,” tegas Shin.

Shin menegaskan, semuanya bergantung kepada sistem dan hasil kerja mereka, tetapi apa yang patut diberi tumpuan ialah sistem yang kerap berdepan masalah.

Perkara sama dikongsi Amar, 23, yang bekerja untuk FoodPanda dan mengakui wujudnya sistem pembayaran yang tidak adil dan merasakan rider ditindas.

“Kalau hantar dekat, dia (majikan) potong bayaran banyak dan kalau hantar jauh bayaran yang kami terima sedikit,” katanya.

Ditanya akan tindakan untuk selesaikan masalah tersebut, Amar berkata, penghantar makanan memang tidak boleh berbuat apa-apa disebabkan itu adalah masalah pengurusan. Walaupun aduan sudah diutarakan, namun, tiada maklum balas yang diterima daripada FoodPanda. 

“Sekarang kami kena kerja lebih masa, dan cuti pun kadang-kadang ada kadang tiada,” kata Amar.

Amar juga meluahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap sistem pembayaran FoodPanda yang sangat berbeza berbanding sebelum ini. Walaupun jumlah trip dan jarak hampir sama, tetapi sekarang kadar bayarannya jauh lebih rendah berbanding dulu- SB 

IKUTI SIRI KETIGA DALAM SIARAN AKAN DATANG

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here