[VIDEO] Bukan senang nak jadi ‘rider’, selalu kena marah

Suka duka kerja sebagai penghantar makanan

0
976

SEDANG kita seronok menikmati hidangan enak siang dan malam, adakah pernah terfikir tentang realiti dan nasib penghantar makanan yang berhempas pulas berjuang mencari rezeki di jalan raya demi memudahkan pelanggan mendapatkan makanan.

Baca berita berkaitan: 118 rider hantar makanan dikompaun langgar lampu merah

Sedar atau tidak, merekalah yang menjadi petugas barisan hadapan sejak dari dulu hingga sekarang demi membantu pelanggan menikmati makanan kegemaran dengan hanya menunggu di rumah.

SatuBerita menemui kelompok penghantar makanan atau popular dengan gelaran ‘rider’ untuk menyelami cabaran, pengorbanan mereka bertarung di jalan raya demi mencari sesuap nasi.

Seorang penghantar makanan Grab Food, yang hanya mahu dikenali sebagai Zul, 29, menegaskan, dugaan utama tugas mereka adalah terpaksa bertarung nyawa dengan berdepan dengan pelbagai risiko semasa menunggang motor.

“Risiko kemalangan semasa menghantar makanan adalah dugaan utama kami, namun pihak pengurusan tidak akan bertanggungjawab sekiranya kami terlibat dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui. 

Berikutan itu, Zul akur dia terpaksa membayar insurans sendiri sebagai jaminan keselamatan jika berlaku perkara tidak diingini sepanjang bertugas kerana mereka juga sebenarnya berperang dengan masa.

“Kadang-kadang pelanggan mempersoalkan tentang isu kami lewat. Itu perkara biasa, kami terima secara terbuka. Tetapi mereka juga kena faham kenapa kami lambat. Banyak faktor perlu diambil kira, banyak proses yang perlu dilalui.

“Pelanggan kena lebih faham sebab sekarang ini banyak kamera dipasang di jalan raya. Nak langgar lampu isyarat pun akan memberi kesan kepada rider,” kata Zul merujuk kepada aduan orang ramai mengenai segelintir rider melanggar peraturan jalan raya semata-mata mahu cepat sampai ke destinasi. 

Hakikat sama disokong Fahmi, 30, yang mengakui cabaran paling besar adalah menempuh cuaca tidak menentu, makanan tumpah, bahkan ada juga berlaku kes makanan diambil pelanggan lain.

“Semua perkara itu akan memakan masa untuk diselesaikan. Sekarang ini cuaca tengahari terlampau panas dan kadang kala hujan lebat. Sudah tentu perjalanan kami akan terganggu dan tidak boleh bergerak lancar. 

“JIka berlaku kes makanan tumpah atau diambil orang lain, ia akan memberi kesan kepada ranking rider,” katanya yang bekerja untuk FoodPanda. 

Namun Fahmi beranggapan, dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan sukar mendapatkan pekerjaan lain, mereka sanggup mengenepikan masalah yang berlaku.

“Anggap saja semua masalah itu sebagai perkara remeh dan masih boleh dikawal. Kami perlu lebih fokus, sekarang susah nak cari kerja lain.

“Pelanggan harus lebih faham dan bersabar dengan isu lambat atau makanan tumpah, bukan senang untuk jadi seorang rider,” tegas Fahmi. 

Seorang lagi ‘rider’ yang dikenali sebagai Fitri berkata, mereka juga sering berdepan dengan masalah salah alamat dan dimarahi pelanggan kerana lewat tiba.

“Pelanggan tidak faham apabila vendor lambat sediakan makanan, kami juga akan lambat untuk menghantar makanan mereka. Apa yang mereka tahu hanyalah nak dapatkan makanan dengan cepat dan akan marah jika kami lambat,” katanya.

Bagi mengatasi masalah itu, Fitri kerap menerangkan kepada pelanggan kenapa mereka lambat dan semuanya terpulang kepada pelanggan untuk faham atau tidak.

Walaupun luahan golongan rider ini jarang dipedulikan, namun mereka cuma berharap pelanggan, vendor atau pihak pengurusan supaya lebih bersikap bertimbang rasa serta memahami nasib penghantar makanan. – SB

IKUTI SIRI KEDUA DALAM SIARAN SETERUSNYA.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here