PRN Melaka capai objektif tidak mahu PH diberi ruang memerintah

0
349

Oleh RIZQI ZABIDI

KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam turut mencapai objektif utama yang dimahukan oleh banyak pihak iaitu untuk tidak kembali membenarkan Pakatan Harapan (PH) kembali memerintah di negeri itu.  

Sambil mengucapkan tahniah kepada BN di atas kemenangan itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, beberapa faktor bagaimanapun perlu diberi perhatian memandangkan pilihan raya umum akan datang sama sekali dilihat berbeza berbanding PRN di Melaka.

Justeru katanya, penyatuan serta perpaduan dalam kalangan ummah terutamanya di peringkat Persekutuan, perlu terus diperkukuhkan menjelang pilihan raya umum, tidak lama lagi.

“Peratusan individu yang keluar mengundi di Melaka cuma antara 60 hingga 65 peratus. Bermakna ada kira-kira 40 peratus lagi pengundi yang tidak keluar terutamanya membabitkan golongan berusia antara 21 hingga 35 tahun.

“Mereka ini golongan yang skeptikal dan mungkin ada juga dalam kalangan pengundi terutamanya yang tinggal di luar Melaka, sudah hilang rasa ‘ghairah’ untuk balik menunaikan tanggungjawab itu. Ini antara perkara yang perlu diambil kira” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Bakul Makanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Titi Haji Idris, Pendang, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Mada, Ahmad Tarmizi Sulaiman, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman serta Pengurus Besar Mada, Kamarudin Dahuli.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, pelaksanaan undi 18 pada tahun depan juga bakal membawa satu perubahan drastik dalam landskap politik tanah air.

“Jadi kita perlu lihat semula semua perkara perkara dari segenap sudut. Kalau peratusan mengundi semalam mencecah 80 peratus, ia mungkin merubah keputusan.

“Namun di sini kita melihat orang Melayu berbalik kepada penyatuan ummah. Negara kita pernah diperintah PH selama 22 bulan dan keputusan semalam saya rasakan sesuatu yang positif kepada penyatuan ummah agar umat Islam dan agama lebih terjamin,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here