190,000 penduduk dewasa Sabah hidap diabetes

0
282

SERAMAI 190,000 penduduk berumur 18 ke atas di Sabah dikesan menghidap penyakit diabetes dan sedang menjalani rawatan di hospital dan klinik di seluruh negeri.

Jumlah ini tidak melibatkan penduduk pedalaman yang tidak tampil membuat pemeriksaan berikutan kekangan pengangkutan untuk keluar melakukan pemeriksaan kesihatan.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Penyakit Berjangkit, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Nirmal Kaur berkata perkara ini sangat membimbangkan kerana jumlah itu menunjukkan 1 daripada 10 penduduk negeri berkenaan menghidap diabetes.

Katanya, walaupun penduduk negeri ini merasa sihat, namun perlu sentiasa menjalani pemeriksaan kesihatan serta mengamalkan gaya hidup sihat untuk menikmati kehidupan yang berkualiti.

“Apabila mencecah usia 30 tahun, walaupun anda nampak sihat, kena buat saringan darah setiap tahun.

“Kalau normal, anda perlu ulang setahun sekali; kalau abnormal, doktor akan nasihat bila perlu buat.

“Ada lima perkara untuk kita sihat, pertama kita jaga pemakanan, kedua jangan merokok. Kalau nak berhenti merokok kita ada klinik berhenti merokok di semua klinik di Sabah.

“Kita kena buat aktiviti senaman selama 30 minit, lima kali seminggu; kita kena kekalkan berat badan yang unggul, dan terakhir sekali, kena kurangkan pengambilan alkohol,” kata Dr Nirmal.

Dr Nirmal berkata demikian selepas merasmikan penutupan program sambutan Hari Diabetes Sedunia peringkat daerah Tawau bagi tahun 2021 di Klinik Kesihatan Kubota Tawau, Sabah.

Sepanjang program Hari Diabetes Sedunia, Pejabat Kesihatan Tawau juga menganjurkan pelbagai program berkaitan kesedaran bahaya diabetes.

Antaranya taklimat bahaya diabetes, pertandingan mewarna untuk pelajar sekolah rendah, pertandingan melukis, serta pertandingan mencipta poster digital.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here