Calon muda belum mampu yakinkan pengundi Melaka

0
292

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka yang menamatkan pentas pertandingannya malam tadi menyaksikan hanya tiga calon muda berusia 35 tahun ke bawah berjaya memperoleh mandat daripada penduduk negeri itu untuk bergelar wakil rakyat.

Seramai 21 calon atau 19 peratus daripada keseluruhan 112 calon yang bertanding berumur 35 tahun dan ke bawah.

Perikatan Nasional (PN) mempertaruh sembilan calon muda, Pakatan Harapan (PH) enam, Barisan Nasional (BN) dua dan satu daripada parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) manakala tiga lagi adalah calon Bebas.

Calon BN Dr Muhamad Akmal Saleh, 33, memperoleh majoriti besar dengan 3,248 undi dalam pertandingan tiga penjuru bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau menewaskan Azrin Ab Majid (PH-Amanah) dan Abd Alim Shapie (PN-PAS).

Dr Mohd Aleef Yusof, 35, yang mewakili PN-Bersatu pula memperoleh kemenangan di DUN Sungai Udang menewaskan tiga pencabarnya dengan majoriti 530 undi mengatasi Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (BN-UMNO), Hasmorni Tamby (PH-PKR) dan calon Bebas Mohd Zahar Hashim.

Bagi calon muda PH, hanya Kerk Chee Yee, 29, mendapat mandat selesa daripada pengundi di DUN Ayer Keroh apabila memperoleh undi majoriti sebanyak 5,624. 

Calon muda lain ternyata masih belum mampu meyakinkan pengundi apabila mereka dilihat lebih mengutamakan calon yang mempunyai pengalaman.

Farzana Hayani Mohd Nasir, 21, calon paling muda yang mewakili PH-PKR dianggap paling mendapat perhatian sewaktu kempen pilihan raya tetapi hanya mampu memperoleh 1,356 undi dalam pertembungan empat penjuru di DUN Sungai Rambai.

Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu tewas kepada calon BN Siti Faizah Abdul Azis yang memperoleh 3,801 undi manakala calon PN-Bersatu Muhammad Jefri Safry mendapat 2,664 undi dan calon Putra iaitu Nazatul Asyraf Md Dom meraih 84 undi.

BN mencatat kemenangan cemerlang dan bergaya apabila memperoleh dua pertiga kerusi DUN pada PRN Melaka hari ini sekali gus menerima mandat untuk kembali mentadbir kerajaan negeri.

Keputusan PRN itu menyaksikan gabungan UMNO, MCA dan MIC memperoleh 21 daripada 28 kerusi DUN yang dipertanding manakala PH memenangi lima kerusi manakala PN dua kerusi.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here