Juruterbang TUDM sempat keluar pesawat guna kerusi anjal sebelum terhempas

0
643

DUA juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terlibat dalam nahas pesawat Hawk 108 yang terhempas di Lapangan Udara Butterworth, Pulau Pinang kelmarin sempat keluar menggunakan kerusi anjal sebelum pesawat itu terhempas dan meletup.

Bagaimanapun menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, seorang daripada mereka iaitu Kapten Mohamad Affendi Bustamy, 31, meninggal dunia manakala Mejar Mohd. Fareez Omar, 33, cedera.

Menurut beliau, polis masih menjalankan siasatan terperinci berhubung nahas pesawat itu dan mengklasifikasikan kematian Mohamad Affendi sebagai kes mati mengejut.

“Berdasarkan maklumat oleh pakar perubatan forensik, punca kematian juruterbang berkenaan adalah disebabkan oleh pelbagai kecederaan yang konsisten dengan nahas udara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd. Shuhaily, polis masih belum mengambil keterangan daripada Mohd. Fareez memandangkan beliau sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Jelasnya, siasatan awal mendapati pesawat BAE Hawk TUDM yang dikendalikan dua juruterbang itu berlepas dari Lapangan Terbang Pangkalan Udara Butterworth untuk melaksanakan latihan penerbangan malam.

“Ia dilaksanakan di ruang udara pengkalan udara tersebut dan sesi latihan itu dikatakan telah berlangsung selama satu jam.

“Pada pukul 10.07 malam, pesawat tersebut dilaporkan terhempas di atas lapangan terbang Pangkalan Udara Butterworth dan menyebabkan letupan,”  katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here