[VIDEO] Nahas Hawk 108: Calon PN PRN Melaka turut bersedih

0
274

TRAGEDI sebuah pesawat Hawk 108 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas ketika sedang menjalani latihan penerbangan malam, dalam satu kejadian di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang pada malam Selasa, mengejutkan seluruh rakyat Malaysia.

Lebih memilukan, tragedi itu telah meragut nyawa  Kapten Mohamad Affendi Bustamy yang mengemudi pesawat malang itu, sementara seorang lagi, Mejar Mohd. Fareez Omar dilaporkan cedera.

Baca berita berkaitan: Pesawat Hawk TUDM terhempas di Butterworth, seorang maut

Tragedi itu turut memberi kesan kepada  calon-calon Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini sempat merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan sahabat terdekat kedua-dua mangsa yang terlibat di dalam tragedi berkenaan.

Menerusi satu hantaran di akaun Facebook rasmi calon PN Dewan Udangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin  merakamkan ucapan takziahnya sambil mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berhati-hati ketika menyelesaikan urusan harian.

“Cuaca mendung pagi ini. Kepada yang pergi bekerja, yang hantar anak sekolah, yang menyelesaikan urusan harian, hati-hati.

“Tidak lupa juga salam takziah buat keluarga mangsa insiden pesawat Hawk 108 yang terhempas di Butterworth semalam. Sama-sama kita doakan urusan kita semua dipermudahkan,”tulis beliau menerusi perkongsian itu.

Tangkap layar hantaran Facebook Calon Perikatan Nasional (PN) DUN Tanjung Bidara, Mas Ermieyati Samsudin

Sementara itu, calon PN yang bertanding di DUN Kuala Linggi, Aziah Mohd Sa’ad menzahirkan ucapan takziahnya mewakili seluruh warga DUN berkenaan menerusi satu perkongsian di Facebook hari ini.

“Saya dan seluruh warga Kuala Linggi mendoakan agar arwah ditempatkan bersama-sama orang yang soleh dan diberikan kekuatan serta ketabahan buat ahli keluarga,” ucapnya menerusi perkongsian itu.

Tangkap layar hantaran Facebook calon Perikatan Nasional (PN) DUN Kuala Linggi, Aziah Mohd Sa’ad.

Manakala, calon PN DUN Durian Tunggal, Ja’afar Othman menyifatkan pemergian Mohamad Affendi sebagai satu kehilangan yang besar buat negara.

“Saya menyampaikan salam takziah buat keluarga Almarhum Kapten Mohamad Affendi, seorang anggota juruterbang TUDM. Sesungguhnya, pemergian beliau satu kehilangan besar buat negara.

“Moga roh beliau mendapat rahmat yang besar dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan soleh,” tulisnya dalam satu perkongsian di akaun Facebook rasminya.

Tangkap layar hantaran Facebook Calon Perikatan Nasional (PN) DUN Durian Tunggal, Ja’afar Othman.

Menerusi perkongsian oleh calon PN DUN Merlimau, Abd Alim Shapie pula, beliau menzahirkan rasa sedih dan dukacitanya dengan tragedi yang meragut nyawa Kapten Mohamad Affendi di samping mendoakan kesembuhan Mohd. Fareez.

“Kita dikejutkan dengan berita insiden pesawat Hawk 108 TUDM terhempas malam tadi.

“Takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga anggota TUDM yang maut dan seorang lagi cedera. Saya amat dukacita dan sedih dengan berita ini.

“Semoga keluarga anggota yang maut diberi ketabahan dan anggota yang cedera diberi kesembuhan dan kesihatan. Aamiin,” katanya.

Tangkap layar hantaran Facebook Calon Perikatan Nasional (PN) DUN Merlimau, Abd. Alim Shapie.

Sebagai rekod, jenazah Mohamad Affendi dikebumikan di kampung halamannya di Bandar Muadzam Shah, Pahang manakala Mohd. Fareez dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.–SB

Baca berita berkaitan: Allahyarham Kapten Mohamad Affendi akan dikebumikan di Pahang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here