Ketua sindiket pengedaran ditahan, dadah 27kg dirampas

0
224

SEORANG pekerja pusat cuci kereta yang dipercayai bertindak sebagai ketua sindiket pengedaran dadah ditahan polis dalam sebuah kereta jenis Perodua MyVi ketika serbuan di kawasan letak kereta di Seberang Jaya.

Lelaki warga tempatan berusia 37 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari hingga 2 petang, Ahad lalu bersama-sama dadah jenis ganja seberat 6.4 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM15,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, susulan penahanan itu polis menyerbu sebuah rumah yang disewa suspek di kawasan flat kos rendah di Seberang Jaya dan merampas pelbagai jenis dadah.

Menurut beliau, antara yang dirampas adalah 12 ketulan ganja seberat 12.4 kg; tiga peket syabu (1.8 kg); satu ketulan heroin base seberat 375 gram dan serbuk kafein (6.6 kg).

Polis Pulau Pinang merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM113 juta serta merampas aset bernilai RM31.4 juta sepanjang tempoh Januari hingga November tahun ini

“Secara keseluruhannya kita merampas lebih 27 kg pelbagai jenis dadah daripada suspek yang bernilai kira-kira RM146,774,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Georgetown, hari ini.

Menurut beliau, suspek berkenaan dipercayai bergiat aktif mengedar dadah sejak awal Jun lalu dan mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian sindiket tempatan.

Jelasnya, suspek yang bertindak sebagai ketua sindiket mengedarkan dadah berkenaan kepada pembeli di negeri ini dan polis kini sedang giat mengenal pasti ahli-ahli sindiket tersebut.

Tambahnya, hasil saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine, namun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan dadah lampau.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula kelmarin hingga 21 November ini dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Mustafa menunjukkan gambar mereka yang ditahan melibatkan 66 lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing menerusi Op Sarang sekitar daerah Barat Daya dan Seberang Perai Utara

Dalam perkembangan berkaitan, Mustafa Kamal Gani berkata, polis Pulau Pinang berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM113 juta dan menahan 6,778 individu serta merampas aset bernilai RM31.4 juta sepanjang tempoh Januari hingga November tahun ini.

Tambahnya, sepanjang tempoh sama pihaknya turut menjalankan sebanyak 30 operasi Op Sarang  dan menahan seramai 609 orang di atas pelbagai kesalahan melibatkan penyalahgunaan dadah.

Katanya, jumlah itu termasuk 66 lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing berusia 19 hingga 60 tahun yang ditahan menerusi Op Sarang yang dijalankan di sekitar daerah Barat Daya dan Seberang Perai Utara (SPU) pada Isnin lalu.

Katanya, operasi itu dijalankan serentak di daerah Barat Daya dan SPU bermula pukul 12 tengah malam hingga 4 petang melibatkan lokasi di sekitar Teluk Kumbar; Batu Maung dan Teluk Bahang (Barat Daya) serta di Pekan Darat dan sekitar SPU.

“Kebanyakan yang ditahan bekerja sebagai buruh dan nelayan kita turut merampas dadah jenis syabu, heroin serta cecair ketum bernilai RM1,768 dalam operasi itu,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here