Mekanisme halang lompat parti boleh dibuat selepas PRN Melaka

0
405

MEKANISME pilihan raya semula yang bertujuan untuk menangani tindakan lompat parti boleh dilaksanakan di Melaka meskipun selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pengundi di Melaka perlu menyokong parti politik yang menunjukkan komitmen untuk membentangkan Rang Undang-Undang Hibrid.

Beliau berkata, RUU Hibrid itu meliputi dua matlamat utama iaitu memecat wakil rakyat yang lompat parti dan pelaksanaan mekanisme pilihan raya semula yang membolehkan pengundi memecat ahli Parlimen melalui petisyen yang dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“RUU itu memerlukan pindaan dalam Perlembagaan Negeri dan ini hanya akan berlaku jika pihak yang menyokong RUU Hibrid memenangi majoriti dua pertiga kerusi di antara mereka.

“Pihak yang bertanding boleh berjanji untuk menggubal RUU Hibrid ini dalam manifesto mereka dan tidak menerima ‘katak’ (wakil rakyat lompat parti)

“Begitu juga, calon yang bertanding boleh membuat ‘ikrar anti lompat’, berjanji tidak akan melompat selepas pilihan raya,” katanya menerusi poster yang dikongsikan menerusi ciapan di Twitter miliknya.

Azalina yang merupakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata, beliau akan mengemukakan RUU Hibrid kepada Parlimen, pada Isnin ini.

Sebagai rekod, Azalina juga adalah Penasihat Khas Undang-undang dan Hak Asasi Manusia kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, RUU Hibrid berkenaan tidak akan memberikan kesan kepada kedudukan wakil rakyat yang melompat parti sekiranya pengundi di kawasan itu didapati bersetuju dengan langkah ahli Parlimen tersebut melalui petisyen dijalankan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here