PRN Melaka:Gerakan boleh menang undi Cina-Muhyiddin

0
265

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan keyakinan parti Gerakan boleh menang undi Cina pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung 20 November ini.

Sambil menyifatkan komuniti tersebut sebagai ‘sangat pragmatik’, bekas Perdana Menteri itu juga berkata terdapat angin perubahan yang melanda negara yang tidak boleh dipandang rendah, sambil menambah bahawa Melaka mungkin menjadi lokasi perubahan itu.

“Ada sebilangan yang mengatakan bahawa peratusan keluar mengundi Cina mungkin rendah dan mereka adalah penyokong kuat DAP, saya fikir mereka adalah orang yang sangat pragmatik.

“Kami harap mereka akan mempertimbangkan calon-calon yang telah kami letakkan daripada Gerakan,” katanya ketika ditanya sama ada beliau yakin Gerakan boleh memenangi undi masyarakat Cina, lapor Free Malaysia Today (FMT), hari ini.

Gerakan bertanding untuk lima kerusi pada PRN Melaka iaitu di Asahan, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir. Penyandang di empat kerusi berkenaan adalah daripada DAP.

Muhyiddin juga menepis dakwaan veteran DAP Lim Kit Siang, awal hari ini bahawa terdapat ‘bantahan keras’ dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menamakan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon PN untuk menjadi Ketua Menteri jika menang kerusi terbanyak.

Presiden Bersatu itu berkata, bukan urusan Lim untuk campur tangan dalam hal partinya, sambil menambah bahawa beliau akan menguruskan hal tersebut sendiri.

“Saya tidak pernah masuk campur dalam urusan DAP. Saya tidak bertanya apa-apa pun mengenainya,” katanya selepas bertemu masyarakat Cina di Melaka petang tadi.

Terdahulu, Lim menyifatkan ketidakupayaan Muhyiddin untuk mengumumkan Mas Ermieyati sebagai calon Ketua Menteri PN sebagai bom jangka kerana dakwaan terdapat tentangan dalam Bersatu.

Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri Undang-undang, menang kerusi Parlimen Masjid Tanah atas tiket Barisan Nasional (BN) pada 2018.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here